Kerajaan Pulau Pinang telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk menggantung pelaksanaan sistem Pengenalan Nombor Pendaftaran Kenderaan Automatik (ANPR) bagi tujuan pengeluaran kompaun serta-merta, tertakluk kepada semakan semula.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri mengambil kira maklum balas serta pandangan orang awam berhubung pelaksanaan sistem berkenaan, petik New Straits Times.
“Kerajaan negeri akan mengarahkan kedua-dua PBT, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), untuk menggantung pelaksanaan ANPR serta-merta dan menyemak terperincinya.
“Apa yang penting ialah kita mendengar suara rakyat, menyemak apa yang perlu disemak, dan memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat Pulau Pinang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau baru-baru ini.
Kon Yeow menjelaskan bahawa perkara itu merupakan antara topik yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim, dan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang.
Beliau menambah, mesyuarat tersebut turut membincangkan beberapa isu berkaitan kos sara hidup dan kesejahteraan penduduk Pulau Pinang, terutamanya cabaran ekonomi semasa. Beberapa langkah susulan berhubung perkara itu akan diperincikan dan diumumkan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran dilaporkan berkata bahawa penggunaan sistem ANPR oleh MBPP yang bermula pada 24 April tahun lalu telah mencatatkan purata kira-kira 7,000 kompaun kesalahan tempat letak kereta dikeluarkan pada setiap bulan.
Menurut beliau, jumlah kompaun tersebut membuktikan bahawa penggunaan teknologi berkenaan membantu meningkatkan kecekapan penguatkuasaan, memandangkan jumlah petak letak kereta di bawah kawalan MBPP di bahagian pulau telah mencecah hampir 20,000 petak.
Sistem ANPR yang mula beroperasi pada 24 April 2025 dengan melibatkan dua buah kenderaan penguat kuasa membolehkan MBPP mengesan kesalahan meletak kenderaan dengan lebih tepat berbanding kaedah pemeriksaan manual.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan sistem tersebut telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang, termasuk bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.