Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Sazalee Adam menjelaskan insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan ‘ulat gambar’ dipercayai berhubung berang ditegur sehingga dua individu di KLCC dibelasah.
18 individu termasuk seorang remaja 17 tahun diberkas di perkarangan KLCC, petik Harian Metro.
“Mangsa melihat seorang pelancong lelaki India sedang dipukul oleh sekumpulan lelaki yang mengambil gambar pelancong yang berada di hadapan KLCC.
“Selepas itu, mangsa menghampiri mereka dan menegur supaya tidak memukul pelancong berkenaan. Kumpulan suspek memberi amaran supaya tidak masuk campur.
“Tiba-tiba, mangsa diserang di kepala oleh seseorang di bahagian belakang disyaki menggunakan pisau kerambit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Memetik laporan itu lagi, suasana menjadi tegang dan dianggarkan 30 rakan suspek datang menyerang mangsa.
Katanya, hasil soal siasat kesemua suspek berusia lingkungan 17 ke 45 tahun mengaku berada di lokasi ketika kejadian dan melakukan aktiviti ‘ulat gambar’.
Sazalee berkata, kedua-dua mangsa turut mengenal pasti dua suspek yang memukul mereka selepas menjalankan kawad cam.
“Semakan mendapati dua suspek memiliki rekod jenayah lampau manakala selebihnya tiada rekod.
“Sepuluh individu beralamat di Sabah, Selangor (2 ora), Kuala Lumpur (3 orang), dan Johor (2 orang). Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.