Naza Eastern Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Suzuki di Malaysia, terus memperkemas dan memperkukuh kehadirannya di wilayah utara menerusi pembukaan pusat pengedar sah baharu, Suzuki Juru, yang terletak secara strategik di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Pusat pengedar baharu yang dikendalikan oleh SMG Auto (MN) Sdn Bhd ini melibatkan pelaburan bernilai RM1 juta. Pelaburan tersebut turut merangkumi unit pandu uji dan unit pameran kenderaan, sekali gus mencerminkan komitmen pengedar dalam menyokong pertumbuhan berterusan jenama Suzuki di pasaran utara Tanah Air.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza, Mohd Rizal Jailan berkata, pembukaan pusat pengedar Suzuki Juru merupakan satu lagi langkah penting bagi memperkukuh kedudukan Suzuki di kawasan utara.
“Pelaburan bagi pusat pengedar baharu ini mencerminkan keyakinan kami terhadap pasaran tempatan serta komitmen kami untuk memberikan kemudahan akses yang lebih baik kepada pelanggan bagi mendapatkan kenderaan Suzuki,” katanya.
Beliau menambah bahawa Juru dan Bukit Mertajam merupakan kawasan strategik yang mempunyai potensi besar susulan pertambahan populasi serta kemudahan perhubungan yang baik.

Pusat pameran berkeluasan 1,600 kaki persegi ini berkonsepkan 1S (Jualan) dan mampu mempamerkan tiga unit kenderaan Suzuki, selain menyediakan ruang menunggu selesa untuk kemudahan pelanggan.
Bagi perkhidmatan selepas jualan, pelanggan boleh mendapatkan sokongan penyelenggaraan di pusat perkhidmatan Suzuki Bayan Lepas yang terletak di Jalan Sungai Tiram 7, Pulau Pinang.
Dengan perasmian pusat pengedar ini, Suzuki kini mempunyai 14 cawangan jualan sah dan 13 pusat perkhidmatan di seluruh negara.
Pengenalan Program SUZUKI CARe
Dalam pada itu, Naza Eastern Motors turut memperkenalkan program SUZUKI CARe, iaitu pelan perlindungan komprehensif yang menggabungkan insuran kenderaan Suzuki Protect (ditaja jamin oleh Zurich General Takaful Malaysia Berhad) dan bantuan perkhidmatan tunda kecemasan (Road Side Assist).
Antara kelebihan utama di bawah pelan Suzuki Protect termasuklah:
1. Perlindungan nilai dipersetujui (agreed value) bagi kenderaan sehingga usia 12 tahun.
2. Tiada caj penambahbaikan (betterment) dan pengecualian ekses sehingga 10 tahun.
3. Perlindungan bencana khas (Special Perils) serta perkhidmatan tunda tanpa had.
4. Perlindungan Kemalangan Diri untuk pemandu dan penumpang (sehingga RM80,000) serta perlindungan kunci kenderaan.
5. Keahlian percuma 1 tahun SkyLounge bagi pembelian menerusi cawangan Naza Eastern Motors.
Pusat pengedar Suzuki Juru beroperasi setiap hari dari jam 9:00 pagi hingga 6:00 petang di alamat No. 3 (GF), Jalan Sentral Jaya, Pusat Perdagangan Sentral Jaya, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.