Tentera Myanmar telah menutup sebuah operasi penipuan dalam talian berskala besar berhampiran sempadan Thailand, menahan lebih 2,000 individu serta merampas puluhan terminal internet satelit Starlink, petik Nikkei Asia.

Menurut laporan akhbar Myanma Alinn pada Isnin, tentera Myanmar telah menyerbu KK Park, sebuah pusat jenayah siber yang sudah lama dikenal pasti, sebagai sebahagian daripada operasi yang bermula awal September untuk membanteras penipuan dalam talian, perjudian haram, dan jenayah siber rentas sempadan.

Baca Juga:

Laporan itu turut menyiarkan beberapa gambar yang menunjukkan peralatan Starlink yang dirampas serta anggota tentera yang terlibat dalam serbuan tersebut.

KK Park terletak di pinggir bandar Myawaddy, sebuah bandar perdagangan utama di sempadan Thailand dalam negeri Kayin, Myanmar.

Karen dituduh terlibat

Jurucakap kerajaan tentera, Mejar Jeneral Zaw Min Tun, dalam kenyataannya pada malam Isnin menuduh bahawa pemimpin tertinggi Kesatuan Kebangsaan Karen (Karen National Union – KNU), sebuah organisasi bersenjata yang menentang pemerintahan tentera, terlibat dalam projek penipuan di KK Park.

Tuduhan ini bukanlah baru ia pernah dikaitkan sebelum ini berdasarkan dakwaan bahawa sebuah syarikat yang disokong oleh kumpulan Karen membenarkan tanah tersebut disewa. Namun begitu, pihak Karen, yang merupakan sebahagian daripada pergerakan penentangan bersenjata terhadap junta dalam perang saudara Myanmar, menafikan sebarang penglibatan dalam aktiviti penipuan itu.

Myanma Alinn melaporkan bahawa tentera Myanmar mendapati lebih 260 bangunan tidak berdaftar di kawasan berkenaan, dan telah merampas pelbagai peralatan termasuk 30 set terminal internet satelit Starlink.

Sebanyak 2,198 individu ditahan, namun laporan itu tidak menyatakan kewarganegaraan mereka.

Walaupun Starlink tidak mempunyai lesen operasi rasmi di Myanmar, ratusan terminal telah diseludup masuk ke negara itu.

Sumber