Negara Brunei Darussalam melangkah ke fasa baharu pentadbiran berikutan pengumuman rombakan kabinet di mana Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen telah diberi mandat dan dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Pelantikan utama ini memperlihatkan peranan Duli Yang Teramat Mulia yang semakin meluas, di mana baginda bukan sahaja akan meneruskan kerjaya dalam bidang ketenteraan, malah akan memegang peranan aktif dalam Majlis Tertinggi Wawasan 2035, petik titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah menerusi laman sesawang rasmi Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam (JPMBD).

Menerusi kapasiti ini, baginda dipertanggungjawabkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan perdagangan negara secara agresif melalui hubungan diplomatik, kerjasama strategik, serta pelaburan antarabangsa.

Rombakan Kabinet Brunei Berkuat Kuasa 4 Tahun

Rombakan barisan menteri dan timbalan menteri ini diumumkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan berkuat kuasa selama empat tahun bermula 4 Jun 2026.

Dalam pengisytiharan rombakan kabinet tersebut, Baginda Sultan mengekalkan portfolio baginda sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, dan Menteri Kewangan.

Selain itu, kedudukan paduka-paduka anakanda baginda turut diperkukuh setelah mengambil kira kecenderungan dan pendedahan awal mereka di dalam sistem pentadbiran kerajaan.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah mengekalkan peranan utama sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035, manakala Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi merealisasikan perancangan strategik Wawasan Brunei 2035 yang kini berbaki kurang daripada satu dekad, struktur pentadbiran turut diperkemas dengan pelantikan tiga orang Menteri Penyelaras (Coordinating Ministers).

Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi, dan Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia.

Langkah transformasi ini juga melibatkan penyusunan semula nama dan portfolio Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, yang kini dikenali sebagai Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.

Perubahan ini bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan sektor-sektor keutamaan, memperkukuh usaha kepelbagaian ekonomi, serta memastikan pertumbuhan mapan yang mewujudkan peluang pekerjaan bermakna buat rakyat.

Rombakan ini turut menyaksikan kenaikan pangkat beberapa orang Timbalan Menteri kepada Menteri penuh dan pelantikan tiga Timbalan Menteri baharu, iaitu Dayang Hajah Tutiaty bagi Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Dayang Nor Imtihan bagi Kementerian Pembangunan, dan Dato Seri Setia Dr Awang Haji Norarfan bagi Kementerian Pendidikan.

Sebagai penutup titah perutusan, Baginda Sultan menyeru agar barisan Kabinet yang baharu ini bekerja sebagai satu pasukan yang kukuh.

Baginda menekankan kepentingan mendalami rintihan rakyat, memberikan perkhidmatan terbaik, serta berpegang teguh kepada integriti demi mencapai wawasan dan matlamat negara menjelang tahun 203