Bakat cilik dari Negeri Di Bawah Bayu, Qaisyah Khairunnisa Bt Syahlil, 9, membuktikan bakat dan kesungguhan mampu memikat hati ribuan peminat apabila dinobatkan sebagai juara musim pertama pertandingan Pentas Little Star anjuran SirapLimau.

Kemenangan manis itu diraih selepas beliau mengumpul sokongan padu menerusi 200,889 undian keseluruhan.

Pertandingan yang dianjurkan untuk meraikan bakat generasi muda ini mencatatkan sambutan luar biasa daripada masyarakat.

Sepanjang kempen berlangsung, seramai 20 peserta berentap dengan merekodkan 497,087 jumlah undian daripada 23,685 pengundi, sekali gus mencerminkan sokongan padu orang ramai terhadap potensi anak-anak muda tempatan.

Selain kemenangan Qaisyah, empat peserta lain turut menerima hadiah sagu hati berdasarkan jumlah undian yang diperoleh:

Amatullah Hamidah(191,022 undi)

Naufa Nur Azween(66,462 undi)

Nur Khayla Azzahra (55,250 undi)

Puteri Azalia (23,420 undi)

Langkah Awal Menuju Pentas Antarabangsa

Bagi Qaisyah, kejayaan ini bukan sekadar trofi kemenangan, sebaliknya menjadi langkah awal yang amat berharga dalam membina perjalanan seninya.

Memasang cita-cita tinggi, anak kecil ini berhasrat mengikut jejak langkah kakaknya, Qahirah, yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas World Championship of Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Qaisyah Khairunnisa Juara Pentas Little Star, Raih Undian Sebanyak 200,889

Tidak terhenti di situ, Qaisyah turut menyimpan impian untuk menjuarai Pertandingan Sugandoi Dazanak peringkat negeri Sabah pada masa akan datang, selain terus menimba ilmu agar bergelar seorang penyanyi serba boleh.

“Saya sangat gembira kerana berjaya mencapai salah satu impian saya, iaitu memenangi pertandingan ini. Selepas kemenangan ini, saya berharap dapat mengikuti jejak langkah kakak saya, Kak Qahirah, yang pernah mewakili Malaysia ke World Championship of Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Saya juga menyimpan impian untuk menjuarai Pertandingan Sugandoi Dazanak peringkat negeri Sabah yang akan datang.

Selain itu, saya berharap agar suatu hari nanti dapat menjadi seorang penyanyi yang berjaya, berilmu dan terus mengembangkan lagi bakat dalam bidang seni suara,” luah Qaisyah. Sokongan Keluarga Jadi Pendorong Utama

Di sebalik kejayaan setiap anak, ada doa dan pengorbanan ibu bapa yang tidak pernah putus. Ibu kepada Qaisyah, Puan Shanty Bt Jaunan, menyifatkan perjalanan sepanjang kempen ini sebagai satu pengalaman yang amat bermakna apabila melihat sendiri kesungguhan anaknya berusaha menggapai impian.

Beliau tidak menolak hakikat bahawa persaingan peringkat Top 20 cukup sengit kerana dibarisi bakat cilik yang sudah mempunyai nama dalam industri hiburan tempatan.

“Pada awalnya, saya akui agak sukar untuk membayangkan Qaisyah menjuarai pertandingan ini kerana peserta Top 20 turut dibarisi bakat-bakat yang sudah dikenali dalam dunia hiburan, seperti adik Azalia, adik Cinta Suci dan lain-lain.

Qaisyah Khairunnisa Juara Pentas Little Star, Raih Undian Sebanyak 200,889

Namun, apabila melihat kesungguhan Qaisyah untuk memenangi pertandingan ini, kami sebagai ibu bapa akan sentiasa memberikan sokongan dan melakukan yang terbaik untuk membantunya mencapai kejayaan,” jelasnya.

SirapLimau Komited Terus Buka Ruang Buat Bakat Cilik

Penganjuran musim pertama Pentas Little Star ini turut memperlihatkan betapa pentingnya ruang pendedahan awal bagi mencungkil bakat terpendam anak-anak Malaysia.

Pengurus Kempen Pentas Little Star, Siti Haidatina, menzahirkan harapan agar pentas seumpama ini dapat diteruskan secara konsisten pada masa hadapan.

“Kami berharap Pentas Little Star dapat diteruskan sebagai platform untuk mencungkil dan mengetengahkan lebih ramai bakat cilik di Malaysia.

Menerusi musim pertama ini, kami melihat sendiri betapa ramai kanak-kanak yang mempunyai bakat luar biasa dan berpotensi untuk pergi lebih jauh jika diberikan peluang serta bimbingan yang sewajarnya.

Kami juga berharap pertandingan ini dapat menjadi titik permulaan kepada perjalanan mereka dalam bidang yang diminati, sama ada nyanyian, lakonan atau bakat lain yang mereka miliki.

Semoga semangat yang ditunjukkan sepanjang pertandingan ini akan terus dibawa oleh setiap peserta untuk mengembangkan bakat dan mengejar impian masing-masing,” katanya.

Pihak SirapLimau berhasrat untuk terus komited menyokong ekosistem pembangunan bakat generasi muda melalui inisiatif positif, sekali gus memberi inspirasi kepada lebih ramai kanak-kanak di luar sana untuk berani tampil berkongsi bakat mereka.