Ketua Kluster Kelestarian dan Kesihatan Bumi, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo menyatakan Malaysia masih selamat daripada sebarang ancaman gempa bumi.

Negara ini turut terselamat termasuk impak terhadap kerosakan struktur bangunan, kongsi beliau kepada Utusan Malaysia.

Pada masa sama Malaysia tidak memerlukan tindakan dasar atau pembinaan prasarana khusus bagi menghadapi risiko gempa bumi di negara ini.

Menurut beliau, Malaysia masih selamat daripada ancaman bencana alam tersebut kerana negara ini berada di atas kepingan tektonik Sunda yang mempunyai aktiviti tekto­nik kurang aktif.

“Gempa bumi adalah fe­nome­na alam yang lumrah, ada tempatnya ia berlaku de­ngan sangat aktif. Contohnya, sepanjang sempadan kepingan tektonik, seperti di Sumatera, Kepulauan Jawa, Filipina dan Jepun.

“Malaysia, terutamanya pantai barat Semenanjung Malaysia menerima kesan gempa bumi yang berlaku di Sumatera. Jika gempa bumi bermagnitud besar, bangunan tinggi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur boleh bergoyang.

“Beberapa peristiwa lepas menunjukkan gegaran ini tidak merosakkan struktur bangunan. Oleh itu, dengan piawaian pembinaan bangunan sedia ada, Malaysia masih selamat daripada ancaman gempa bumi,” katanya kepada Utusan Malaysia.