Sepasukan Jabatan Kebajikan Manusia (JKM) Maran terkejut apabila mengetahui seorang pengemis OKU kutip sumbangan datang ke pasar malam dengan Proton X70 Flagship.
Menerusi hantaran Facebook JKM Maran, mereka terjumpa dengan lelaki itu semasa operasi membanteras pengemisan dijalankan untuk membasmi aktiviti pengemisan di pasar malam Sri Jaya, Maran.
Baca Juga:
- Duduk Kondominium Mewah Tapi Mohon Bantuan Zakat, Siasatan MAIWP Ini Bongkar ‘Sisi Gelap’ Segelintir Pemohon
- Niat Baik Nak Belanja Pengemis Nasi Kandar, Tetapi Terkejut Selepas Kena Bayar RM70
- Pemuda Dakwa Ada Ferrari ‘Pick Up’ Wanita Arab Minta Sedekah, Nasihat Jangan Cepat Percaya
Lelaki melayu memakai jubah dan kopiah itu berdiri di celahan payung peniaga pasar malam sambil memegang beg kertas meminta simpati orang ramai yang lalu lalang.
Lelaki OKU itu kerana kedua-dua tangannya kelihatan kecil tidak seperti tangan manusia normal.
Apabila dihampiri pegawai JKM, lelaki tersebut enggan menjelaskan tujuan dia meminta sedekah. Di dalam beg kertas di dalamnya mempunyai beberapa keping duit, hasil pemberian sedekah oleh pengunjung pasar malam itu.
“Berkali-kali Penguatkuasa JKM meminta kad pengenalan bagi tujuan rekod operasi pada hari ini tetapi tidak mendapat respon daripada lelaki tersebut.
“Setelah didesak barulah lelaki tersebut bersuara. Normal rupanya. Beliau bukanlah seorang yang pekak dan bisu. Cuma seorang OKU Fizikal,” petik hantaran Facebook JKM Maran.
Kemudian, lelaki itu memberitahu kad pengenalannya ada di dalam kereta. Pegawai penguatkuasa mengekorinya ke kenderaan dan alangkah terkejutnya mereka semua apabila melihat kereta dibawanya.
“Percaya atau tidak, Seorang OKU yang tadinya hanya berdiri meraih simpati orang ramai atas kekurangan dirinya memandu sebuah Proton X70 Flagship.
“Siasatan lanjut dijalankan oleh Penguatkuasa JKM. Dia tinggal di Balok, Kuantan dan akan ke pasar-pasar malam untuk menjalankan aktiviti pengemisan.
“Semakan juga mendapati beliau menerima Elaun Pekerja OKU daripada pihak JKM sebanyak RM450.00 sebulan sejak tahun 2001 lagi. Dia juga mengaku bahawa kereta Proton X70 Flagship tersebut adalah miliknya,” kata JKM Maran.
Jelas lelaki OKU itu, dia boleh meraih sehingga RM 500 bagi tempoh 4-5 jam hasil aktiviti pengemisannya di pasar-pasar malam.
Pihak penguatkuasa JKM Maran telah melepaskan lelaki itu dengan amaran.
Dalam pada itu, JKM Maran turut memberikan pesanan kepada orang ramai agar bersedekah kepada orang dan tempat yang betul.