Lapan warga Filipina dipaku pada salib pada 7 April yang lalu dalam usaha untuk melakonkan semula penderitaan Jesus dalam tradisi Good Friday. Ritual ini mungkin kelihatan ngeri, tetapi ia telah berjaya menjadi tarikan pelancong ke Filipina walaupun ia ditentang dengan keras oleh pihak gereja, lapor CNBC.

Ini merupakan pertama kali budaya klasik ini dipersembahkan di sebuah perkampungan pertanian San Pedro Cutud di wilayah Pampanga di utara Manila selepas tiga tahun dihentikan akibat wabak COVID-19. Kira-kira sedozen penduduk kampung mendaftar tetapi hanya lapan yang dipilih untuk menjalani ritual ini.

Baca Juga:

CNBC

Salah seorang peserta dengan tangannya berbalut selepas dipaku pada salib berkata kepada wartawan bahawa dia melakukan perkara ini bagi menawarkan doa agar dunia pulih daripada wabak COVID-19 yang telah membunuh berjuta nyawa. Dia juga memohon agar perang di antara Rusia dan Ukraine, yang telah menyumbang kepada kenaikan ekonomi dunia, boleh ditamatkan secepat mungkin.

Difahamkan salah seorang peserta pula menjalani ritual ini kerana terselamat tanpa sebarang kecederaan apabila dia jatuh dari bangunan tiga tingkat pada 1985. Sejak itu, dia tidak pernah tertinggal untuk menjalani tradisi ini sebagai tanda syukur atas apa yang dianggapnya sebagai ajaib.

CNBC

Sebelum ritual penyaliban dilakukan, para peserta akan dipakaikan mahkota berduri yang dibuat daripada ranting kayu. Mereka kemudiannya akan memikul salib kayu di belakang sambil berjalan selama lebih daripada satu kilometer. Selepas itu mereka akan disalib menggunakan paku 4 inci di bahagian tapak tangan dan kaki sebelum berjemur di tengah-tengah terik matahari selama 10 minit.

Bagaimanapun, ritual ini mendapat tentangan gereja. Pemimpin-pemimpin gereja di Filipina telah menyuarakan rasa kurang senang dengan ritual ini. Dalam kenyataan pihak gereja, mereka menyatakan bahawa para peserta ritual sebenarnya boleh membuktikan dengan cara lain jika mereka betul-betul seorang penganut yang setia, bukannya dengan menyakitkan diri.

Robert Reyes, seorang paderi Katolik dan aktivis hak asasi manusia berkata upacara penyaliban yang dilakukan oleh sebahagian penganut katolik itu mencerminkan kegagalan gereja untuk mendidik rakyat Filipina mengenai ajaran Kristian sehingga membuatkan mereka meneroka cara sendiri untuk membuktikan keimanan mereka.