Beberapa jenama besar Amerika Syarikat di India, termasuk McDonald’s, Coca-Cola, Amazon dan Apple, berdepan tuntutan boikot apabila pemimpin korporat serta penyokong Perdana Menteri Narendra Modi bertindak balas terhadap tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Memetik Times of India, populasi India yang besar menjadikannya pasaran yang penting bagi syarikat-syarikat Amerika.
Baca Juga:
- Donald Trump Desak Bos Intel Berkelahiran Malaysia Letak Jawatan Serta-Merta

- Ancaman Besar Trump, Tarif 100% Gemparkan Industri Semikonduktor Malaysia

- ‘Sangat Menarik’ – Ini Luahan Trump Selepas Berjumpa Dengan CEO Intel Kelahiran Malaysia

Pelaksanaan tarif 50% terhadap barangan India oleh Donald Trump telah menegangkan hubungan diplomatik antara New Delhi dan Washington.
Kini rakyat India giat meluaskan kempen di media sosial dan seruan umum untuk menyokong produk alternatif tempatan berbanding produk Amerika.
Walaupun kesan segera terhadap jualan masih belum jelas, menurut laporan Reuters, gerakan memboikot barangan AS demi pilihan domestik semakin mendapat momentum.
Reaksi rakyat apabila India dikenakan tarif 50%
Manish Chowdhary, pengasas bersama Wow Skin Science di India, berkongsi sebuah video di LinkedIn yang menyeru sokongan kepada petani tempatan dan syarikat pemula (startup) dalam negara.
Beliau menekankan kepentingan mengangkat produk ‘Made in India’ ke tahap pengiktirafan antarabangsa, dengan mencontohkan kejayaan Korea Selatan dalam sektor makanan dan kecantikan.
“Kita beratur untuk mendapatkan produk dari ribuan batu jauhnya. Kita dengan bangganya membelanjakan wang untuk jenama yang bukan milik kita, sedangkan pengeluar kita sendiri terpaksa berjuang untuk mendapat perhatian di negara sendiri,” katanya.
Sementara CEO DriveU, Rahm Shastry pula menyatakan di LinkedIn visinya untuk India membangunkan alternatif sendiri kepada platform media sosial dan teknologi utama.
“India sepatutnya mempunyai Twitter, Google, YouTube, WhatsApp, Facebook buatan tempatan sendiri — seperti yang dimiliki China,” katanya.
Walaupun organisasi runcit India berjaya bersaing dengan jenama antarabangsa seperti Starbucks di pasaran tempatan, usaha untuk berkembang ke peringkat global masih sukar dicapai.
Sebaliknya, syarikat perkhidmatan teknologi India telah membina kehadiran kukuh di peringkat antarabangsa, dengan organisasi seperti TCS dan Infosys menyediakan penyelesaian perisian kepada pelanggan di seluruh dunia.
Dalam satu perhimpunan pada hari Ahad di Bengaluru, PM Modi membuat ‘rayuan khas’ untuk kebergantungan kendiri.
Beliau menyatakan bahawa walaupun firma teknologi India menghasilkan produk di peringkat global, kini adalah masa untuk memberi lebih keutamaan kepada keperluan India.