Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim menyatakan Malaysia masih belum berjaya mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat disebabkan ekonomi kurang cekap dan tidak berskala besar, lalu menyebabkan negara gagal cipta peluang pekerjaan berkualiti untuk para graduan.

Pada masa sama sistem pendidikan dan latihan kemahiran yang dilaksanakan juga dikhuatiri sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi memenuhi keperluan pasaran abad ke-21.

Baca Juga:

Kesannya, ia telah menjejaskan telah produktiviti dan daya saing negara, lapor Sinar Harian.

“Semua isu terbabit adalah cerminan kepada sikap kerajaan yang masih teragak-agak dan terlalu berhati-hati untuk melakukan reformasi menyeluruh.

“Jadi, saya berpandangan, Malaysia wajar menghentikan kebergantungan kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memberi tumpuan kepada struktur pekerjaan untuk memajukan ekonomi,” katanya.

Malaysia banyak pekerjaan berkemahiran rendah

Pada masa sama Muhammad mendapati kebanyakan pekerjaan baharu yang diwujudkan di Malaysia adalah kerja berkemahiran rendah yang tidak memerlukan pengalaman.

Peluang pekerjaan itu telah menarik kemasukan pekerja dari negara seperti Nepal, Bangladesh dan Indonesia.

Ini kerana kadar gaji di Malaysia adalah tiga kali ganda lebih tinggi.

Di samping itu Muhammad turut menegaskan Malaysia berisiko bertukar daripada ‘pengeksport bakat’ kepada ‘pengeksport tenaga buruh’.

Perkara itu boleh terjadi sekiranya negara terus gagal mengubah struktur ekonominya dan tidak mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi pada masa akan datang.

“Kita sudah mula melihat lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak lagi layak untuk jawatan tinggi di luar negara, sebaliknya terpaksa bekerja dalam negara atau hanya mampu melakukan kerja bawahan di negara jiran.

“Jika suatu hari nanti anak-anak kita bekerja sebagai pembantu rumah di negara jiran, saya tidak akan terkejut. Ia sangat mungkin berlaku,” luah beliau.

Menurutnya, antara bakat yang mulai ‘hilang’ di Malaysia adalah dalam bidang kejururawatan.

Ramai jururawat berhijrah ke Singapura, Timur Tengah, Australia dan New Zealand untuk mendapatkan gaji yang lebih baik daripada negara sendiri.

Sumber