Tidur kini bukan lagi dianggap sekadar rehat, tetapi satu gaya hidup yang semakin mendapat perhatian global.
Selepas lebih satu dekad dunia bergelut dengan krisis – dari pandemik hingga ekonomi – masyarakat mula sedar bahawa tidur mencukupi adalah asas kesihatan.
Tetapi persoalannya, bagaimana sebenarnya keadaan tidur masyarakat dunia, dan di mana kedudukan Malaysia?

Laporan World Sleep Trends 2023 memberikan gambaran yang menarik, siapa yang tidur paling cukup, siapa paling sedikit, serta negara mana paling bergantung kepada ubat tidur.
Negara-negara Scandinavia seperti Belanda, Denmark dan Sweden mendahului carta dengan lebih 75% rakyat mereka tidur 7–9 jam setiap malam, sesuai dengan saranan kesihatan.
Sebaliknya, negara Asia dan Timur Tengah mencatatkan kadar tidur cukup yang sangat rendah.
Qatar hanya merekodkan 42%, diikuti Iran dan Korea Selatan yang terkenal dengan budaya kerja ekstrem.
Rakyat Malaysia Tidur Kurang 10 Jam?
Malaysia pula? Walaupun kita tidak berada di kelompok paling buruk, data menunjukkan rakyat Malaysia jauh ketinggalan dalam kategori “long sleeper”, iaitu mereka yang tidur lebih daripada 10 jam.

Hanya sekitar 2.97% rakyat Malaysia tergolong dalam kumpulan ini, antara yang terendah di dunia.
Keadaan ini memberi gambaran bahawa ramai rakyat Malaysia hidup dalam defisit tidur kronik, sama ada kerana beban kerja, tekanan urbanisasi, atau gaya hidup yang terlalu sibuk.
Lebih membimbangkan, fenomena short sleeper, mereka yang tidur kurang daripada 5 jam semakin biasa di rantau Asia.

Negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Vietnam menunjukkan angka tinggi, dan Malaysia berpotensi menuju ke arah yang sama sekiranya beban kerja terus berleluasa.
Di peringkat global, isu ini turut dikaitkan dengan rasio tidur vs jam kerja.
Denmark, misalnya, mencatatkan nisbah sihat iaitu 2 jam tidur untuk setiap 1 jam kerja.
Sebaliknya, Mexico dan Korea Selatan duduk di tangga terbawah kerana beban kerja tahunan yang tinggi.
Malaysia sendiri berada di zon kelabu, secara purata rakyat bekerja lama tetapi masih tidak mendapat tidur berkualiti.
Ironinya, negara Scandinavia yang rakyatnya cukup tidur sebenarnya adalah antara yang paling banyak mencari penyelesaian tambahan seperti melatonin, magnesium, atau CBD untuk meningkatkan kualiti tidur.
Faktor geografi, malam yang terlalu singkat di musim panas, membuatkan mereka obses menjaga tidur, termasuk dengan amalan pelik seperti “divorce duvets” (selimut berasingan untuk pasangan).