Rakyat Malaysia, anda patut berbangga dengan pencapaian pasport yang kini tunjuk ‘taring’ kat mata dunia.
Dalam kemas kini terbaharu bagi Ranking Pasport Index 2025, dokumen perjalanan Malaysia telah melonjak naik ke kedudukan tangga ketiga (No. 3) dunia.
Memiliki pasport yang disenaraikan sebagai ‘kuat’ (biasanya berada di kedudukan tertinggi dalam Indeks Pasport Global) bermakna korang memegang kunci kepada pelbagai kelebihan dan kemudahan perjalanan di sejumlah negara.
Namun, warga tempatan yang tidak menyedari nikmat memiliki pasport yang kuat sangat didambakan oleh ramai orang yan datang dari negara yang mempunyai pasport yang lemah.
Baru-baru ini, pihak CNBC telah menyoal beberapa individu dari beberapa negara untuk bercerita sendiri pengalaman melancong dengan pasport yang lemah untuk diketahui oleh orang awam.
Perlukan dokumen dan duit yang banyak
Kisah ini berkisar tentang Alex, seorang wanita dari Afrika Selatan yang kini menetap di Singapura.
Walaupun berpeluang tinggal di tengah-tengah hab perjalanan Asia, Alex berdepan cabaran besar setiap kali dia merancang untuk keluar negara, sama ada untuk urusan kerja mahupun percutian.
Alex mengakui bahawa pasport yang dipegangnya adalah penghalang utama kepada gaya perjalanan ‘free-and-easy’ yang diidamkannya.
Proses permohonan visa yang sering kali rumit, memakan masa, dan membebankan telah mengehadkan mobiliti dirinya.
Lantaran itu, Alex berkata dia sanggup dan berbesar hati untuk menukarkan pasport Afrika Selatannya dengan pasport negara lain.
“Jika ada yang menawarkan saya pasport yang lain, atau pasport yang berbeza untuk anak-anak saya, saya akan sambar peluang itu tanpa berfikir dua kali (atau ‘sambar dengan kedua belah tangan’),” kata Alex, yang meminta untuk dikenali hanya dengan nama pertamanya atas sebab privasi.
Pasport Afrika Selatan kini menduduki tempat ke-51 dalam senarai The Henley Passport Index terkini. Kedudukan ini meletakkan dokumen perjalanan tersebut di pertengahan senarai global.
“Mereka yang memiliki pasport yang kuat, termasuk rakan-rakan saya, biasanya tidak faham tentang kos, masa dan rasa tertekan yang dialami oleh kami yang terpaksa melancong menggunakan pasport yang tidak berada hampir di puncak senarai,” kata Alex.
Alex mendedahkan betapa rumitnya proses permohonan visa yang memakan masa, termasuk pengalaman ‘gila’ diminta memuat naik setiap helaian pasport lama dan terperangkap selama enam minggu tanpa pasport akibat permohonan visa Schengen dan UK.
Alex turut menceritakan pengalaman pahit kos visa yang melampau, di mana perjalanan enam hari ke Itali sahaja telah menelan belanja kira-kira $600 (~RM2486.40) hingga $700 (~RM2900.80) untuk yuran dan kos berkaitan.
Disebabkan trauma birokrasi ini, Alex kini hanya mengutamakan destinasi bebas visa, sambil berharap mereka yang memegang pasport ‘kuat’ dapat memahami betapa besarnya perbezaan kos dan kekecewaan yang dihadapi oleh pengembara seperti beliau.
Sering ditanya soalan sinis daripada pegawai visa
Seorang lagi pemegang pasport yang mahu hanya dikenali sebagai Lily menceritakan tentang pegawai visa yang bersikap sombong dan mengajukan “soalan yang menghina,” seperti menyoal sama ada beliau bercadang untuk tinggal melebihi tempoh visa yang diluluskan.
Bukan itu sahaja, dia juga juga terpaksa menyediakan rekod jenayah, atau pengesahan tiada rekod jenayah, dalam permohonan visanya—satu lagi keperluan yang memakan masa tambahan dan wang untuk mendapatkannya.
Alex mencelah dengan mengatakan rasa terhina kerana terpaksa melalui banyak sekatan perjalanan, walaupun dia adalah seorang yang berpendidikan dan dihormati dalam masyarakat.
Dia bingung melihat bagaimana pemegang pasport ‘lemah’ terpaksa menjalani temuduga dan mengemukakan pelbagai dokumen, termasuk rekod jenayah, manakala individu lain boleh masuk dengan mudah ke negara yang sama hanya kerana mereka memegang pasport daripada negara yang mempunyai perjanjian bebas visa.
Situasi ini menunjukkan bahawa kemudahan perjalanan seringkali bergantung kepada perjanjian antara kerajaan, bukan pada kelayakan peribadi individu itu sendiri.
Tak boleh ‘travel’ secara spontan

Isu pasport ‘lemah’ ini bukan sahaja dihadapi Alex, tetapi turut dikongsikan oleh Pantha Roy, seorang usahawan yang berpangkalan di Singapura dan berwarganegara India.
Roy mendedahkan bagaimana perjalanan sebagai pemegang pasport India telah menyebabkan tambahan kos, masa, dan tenaga, terutamanya ketika dia perlu mengkaji secara terperinci setiap keperluan visa sesebuah negara.
Roy menceritakan, ketika dia ‘backpacking’ di Amerika Selatan, dia terpaksa merancang perjalanan terlalu awal. Malah, beberapa negara memerlukan dia mendedahkan titik masuk dan jenis pengangkutan yang akan digunakan—maklumat terperinci yang menghilangkan keseronokan kembara.
“Anda tidak boleh menjadi spontan,” katanya, sambil menambah bahawa proses mencari semua maklumat ‘nitty-gritties’ (perkara remeh-temeh) ini telah menghilangkan keseronokan melancong.
Ketika melancong di Eropah, Roy teringat bagaimana rakan-rakannya dapat bergerak dengan mudah dan menempah penerbangan yang lebih murah hanya dalam tempoh seminggu sebelum berlepas. Namun, dia tidak boleh berbuat demikian.
Untuk perjalanan singkat sekalipun, “anda perlu mula merancang seperti tiga bulan sebelum,” bagi memastikan ada masa yang cukup untuk mendapatkan temujanji visa dan tempoh kelulusan sebelum tarikh perjalanan.
Disebabkan segala kerumitan ini, Roy mengakui, “Disebabkan kerenah itu… saya memilih untuk pergi ke tempat lain, daripada pergi ke Eropah.” Ini menunjukkan bahawa halangan visa telah mengubah hala tuju dan pilihan destinasi percutian pengembara pasport ‘lemah’.