Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari menyatakan sikap rakyat Malaysia yang seolah-olah segan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah satu situasi yang mengejutkan.

Berita Harian memetik laporan Astro Awani, Dr Hazami berkata situasi itu jelas menunjukkan penjajahan minda serta menyerlahkan krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu. Kononnya ia tidak mempunyai nilai ekonomi, standard, serta mutu tersendiri.

Menurutnya, ia sama sekali berbeza dengan mentaliti bangsa negara-negara yang maju seperti Perancis, China, Jepun dan Thailand, malah negara serantau Indonesia sendiri amat berbangsa dengan bahasa kebangsaan mereka sendiri.

“Saya terasa pelik dan terasa agak terkejut. Malaysia ini negara yang paling pelik di dunia, ada bahasa sendiri, tetapi segan digunakan.

“Mungkin anda pernah pergi ke negara seperti Perancis, China, Jepun, Thailand dan sebagainya. Di negara yang maju ini mereka bangga menggunakan bahasa mereka sendiri, tapi di Malaysia kita sangat segan menggunakan bahasa kita,” katanya sewaktu bersiaran bersama Agenda AWANI baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan jati diri bangsa terletak pada ukur tara bahasa, bangsa dan kesenian. Kemajuan bangsa itu pula bukan setakat sains dan teknologi tetapi juga dari sudut pemikiran dan budaya.

“Maka bahasa yang kita laksanakan iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perlu kita angkat, martabat dan perkasakan, dan peruntukan inilah yang kita guna sepenuhnya,” katanya.

Dr Hazami juga berpandangan tiada salahnya Bahasa Melayu dikembangkan dengan pelbagai sumber. Ini kerana bahasa yang tidak berkembang dan tidak menerima perubahan, mungkin pada akhirnya ia akan mati begitu sahaja.

Sebagai contoh, tiada masalah untuk menambah kosa kata dengan pelbagai sumber ada, baik daripada bahasa asing, bahasa serantau atau bahasa baharu yang dicipta.

Sumber