Selain bercuti di dalam negara, rakyat Malaysia juga dilihat gemar berkunjung ke negara jiran seperti Indonesia kerana mahu ambil angin lain.
Bagaimanapun, kebanjiran rakyat Malaysia ke negara terbabit telah membuatkan seorang warga tempatan di sana tertanya-tanya keadaan ekonomi dalam keadaan baguskah sehingga ramai boleh berbelanja dan bercuti di sana.

“Di dalam kereta penuh dengan pelancong Malaysia, di pusat beli-belah pun jumpa pelancong Malaysia. Sarapan di hotel, pelancong Malaysia juga. Di mana-mana sahaja ada rombongan pelancong Malaysia.
“Terdengar perbualan mereka: hari ini nak cuba naik kereta api laju Whoosh ke Bandung. Adakah ini bermakna ekonomi mereka sedang dalam keadaan baik?,” soalanya di platform Threads.
Pertanyaan itu langsung mendapat perhatian dan warga Malaysia langsung memberikan pandangan mereka mengapa lebih selesa bercuti ke sana.
Sebahagian percaya ekonomi Malaysia berada dalam keadaan stabil dan paling utama sekali pertukaran matawang yang lebih baik membuatkan rakyat Malaysia pilih untuk bercuti ke sana.
Ada yang mendakwa jika ekonomi tersangat bagus pasti lebih ramai ke negara Eropah berbanding di Indonesia.
Namun, ramai mencelah dengan mengatakan alasan lain mengapa lebih suka di Indonesia juga disebabkan kaya dengan keindahan alam semula jadi dan hanya mahu healing dalam tempoh singkat di tempat yang dekat sahaja.
Selain itu, ada yang berpendapat kemudahan mendapatkan makanan halal juga menjadi salah satu faktor penting mengapa suka bercuti ke Indonesia.
Sementara nak Eropah atau negara jauh yang lain, kebiasaannya ramai perlu mengambil cuti yang lama untuk betul-betul menikmati percutian tersebut.
Perancangan juga perlu dilakukan dengan lebih rapi serta awal dibandingkan dengan cuti jangka masa pendek di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.