Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor berjaya menahan empat orang pengemis OKU jalanan warga China di Johor Bahru baru-baru ini.

Tangkapan itu dibuat menerusi Op Serkap, keempat-empatnya itu berusia lingkungan 36 hingga 67 tahun itu ditahan secara berasingan. Wang tunai berjumlah RM9,000 turut dirampas.

Baca Juga:

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata tindakan penahanan dilakukan selepas pihaknya bertindak hasil maklumat awam dan risikan selama tiga minggu.

“Hanya bermodalkan kekurangan fizikal serta cacat anggota, pengemis-pengemis warga asing ini mampu meraih pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.

“Sikap pemurah rakyat Malaysia telah menyebabkan mereka cenderung untuk bertindak agresif dengan mendekati orang ramai yang mengunjungi pasar malam dan premis-premis,” kata Datuk Mohd Rusdi dalam satu kenyataan.

Kesemua warga asing yang ditahan itu telah melakukan kesalahan  di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.