Kita selalu dengar tentang isu kebuluran dan kekurangan makanan, tetapi dalam masa yang sama, rakyat Malaysia membuang 81kg makanan setiap tahun secara purata.
Menurut laporan terbaru United Nations Environment Programme (UNEP) 2024, Malaysia berada di kedudukan keempat dalam senarai negara Asia Tenggara yang paling banyak membazir makanan.

Malaysia Antara Paling Banyak Membazir Makanan
Laporan ini menunjukkan statistik yang mengejutkan tentang sisa makanan per kapita di Asia Tenggara:
- Laos – 89kg
- Thailand – 86kg
- Cambodia – 85kg
- Malaysia – 81kg
- Myanmar – 78kg
- Timor-Leste – 78kg
- Brunei – 76kg
- Vietnam – 72kg
- Singapore – 68kg
- Indonesia – 53kg
- Filipina – 26kg
Yang mengejutkan, negara seperti Thailand dan Cambodia yang mempunyai kadar kemiskinan lebih tinggi, membazir lebih banyak makanan berbanding Malaysia.
Kenapa Malaysia Banyak Membazir Makanan?
- Harga makanan murah – Berbanding negara lain, harga makanan di Malaysia masih mampu milik, menyebabkan ramai tidak menghargai makanan yang dibeli.
- Trend ‘Mata Besar, Perut Kecil’ – Ramai rakyat Malaysia suka memesan lebih daripada apa yang boleh dimakan, terutama di buffet dan kenduri.
- Pembelian berlebihan – Sikap membeli secara pukal tanpa perancangan menyebabkan banyak makanan terbuang begitu sahaja.
- Kurangnya kesedaran – Masih ramai tidak tahu cara menyimpan makanan dengan betul untuk mengelakkan pembaziran.
Bandingkan Dengan Singapura & Indonesia
Singapura dengan angka 68kg, walaupun negara ini lebih maju, pembaziran makanan lebih rendah kerana mereka mempunyai undang-undang ketat dan kesedaran tinggi tentang food sustainability.

Di Indonesia pula dengan purata 53kg, walaupun jumlah penduduk lebih ramai, mereka lebih berjimat dan cenderung untuk menggunakan semula makanan dalam masakan tradisional.
Jadi, kenapa Malaysia yang kaya dengan budaya makanan masih tidak dapat mengawal pembaziran?
Apa Kesannya?
Amalan pembaziran ini telah menyebabkan rakyat Malaysia membuang berjuta-juta ringgit dalam bentuk makanan yang tidak dimakan.
Selain itu, ia juga menyumbang kepada kerosakan alam sekitar, di mana sisa makanan di tapak pelupusan menghasilkan gas metana yang menyumbang kepada pemanasan global.

Amalan pembaziran ini juga telah menyumbang kepada isu kebuluran yang tiada penghujungnya dan ironinya, masih ada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan dan tidak cukup makan.
Macam Mana Nak Kurangkan Pembaziran?
- Beli ikut keperluan, bukan nafsu – Jangan beli secara berlebihan, rancang menu mingguan dengan baik.
- Simpan makanan dengan betul – Gunakan teknik penyimpanan makanan untuk mengelakkan cepat rosak.
- Guna lebihan makanan untuk resipi baru – Contohnya, nasi lebihan boleh dijadikan nasi goreng atau bubur.
- Sumbangkan makanan lebih – Banyak NGO seperti The Lost Food Project mengumpul makanan lebihan untuk diberikan kepada golongan miskin.