Toh Hong Keng, seorang rakyat Malaysia yang berpindah ke Hong Kong lebih tiga dekad lalu, membuktikan bahawa beliau mampu untuk menamatkan pengajian perubatan di Southwestern University PHINMA, Cebu, Filipina, dan menjadi antara graduan perubatan tertua di dunia di usia 70 tahun.
“Saya tak pernah berangan nak jadi doktor masa kecil. Tapi bila jumpa dua pelajar perubatan muda dari India masa bercuti di Kyrgyzstan, saya mula fikir mungkin saya boleh cuba,” kata Toh semasa duduk santai di sebuah kafe di Hong Kong.
Selepas bersara dari kerjaya korporatnya dalam bidang jualan teknologi pada tahun 2019, Toh memutuskan untuk mencabar diri dengan memohon ke universiti perubatan di seluruh Asia.
Walaupun berhadapan dengan had umur di kebanyakan universiti (biasanya antara 35 hingga 40 tahun), beliau tidak berputus asa.
Akhirnya, Southwestern University di Filipina membuka pintu peluang untuk beliau pada usia 65 tahun.
Melalui temubual bersama CNN, Toh mengaku bahawa perjalanannya untuk menamatkan pengajian perubatan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ingatkan saya tak mampu teruskan. Setiap kali nak putus asa, saya akan fikir ‘sayang’ kalau tak habiskan apa yang saya dah mulakan,” katanya sambil tersenyum.
Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakannya menjadi faktor utama yang mendorong beliau meneruskan perjuangan.
Pelajar-pelajar lain yang jauh lebih muda turut memberi semangat, sering memanggilnya dengan gelaran hormat “Sir Toh.”
Sepanjang lima tahun belajar, beliau melalui pelbagai cabaran.
Pada tahun ketiga, beliau terpaksa mengulang satu tahun selepas gagal ujian pediatrik.
Malah, tahun akhir pengajiannya dipenuhi dengan latihan praktikal di hospital selama 30 jam tanpa henti.
Namun begitu, Toh tidak pernah meminta sebarang layanan istimewa.
“Beliau sangat berdedikasi dan tidak pernah mengalah. Kami semua terinspirasi dengan semangatnya,” kata Dr Marvi Dulnuan-Niog, Dekan Fakulti Perubatan Southwestern University.
Lahir di sebuah ladang getah di Malaysia, Toh membesar seperti keluarga-keluarga yang lain.
Setiap pagi, beliau bersama adik-beradiknya akan bangun seawal 4 pagi untuk menoreh getah sebelum ke sekolah.
“Kami tak ada cita-cita besar masa tu, cuma nak hidup lebih baik dari apa yang kami ada,” katanya.
Tekad beliau dalam akhirnya membawa beliau ke University of Bradford di Britain, di mana beliau menyambung pengajian dalam bidang kimia dan kejuruteraan kawalan.
Malah, untuk menampung perbelanjaan pengajian, Toh pernah bekerja sebagai pemungut sampah di London.
Bagi beliau, pekerjaan tersebut tidak pernah hina kerana “bayarannya lumayan.”
Walaupun sudah melakar kejayaan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kejuruteraan dan perniagaan, beliau memilih untuk kembali ke bangku sekolah bagi mengejar ilmu perubatan.
Bagi Toh, mempelajari perubatan adalah satu cabaran baru yang membawa arah tuju berbeza dalam hidupnya.
“Kalau saya tak jadi doktor pun, sekurang-kurangnya saya boleh jaga kesihatan sendiri,” katanya berseloroh.