Tahukah anda bahawa Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kehilangan pekerjaan tertinggi pada bulan Mac? Malahan, dilaporkan jumlah keseluruhannya lebih 5,000 individu Malaysia yang terjejas.
Oleh itu, wujud persoalan siapakah gerangan yang terjejas dengan fasa pemberhentian secara mengejut dan apakah sebab sebenar dibehentikan pada bulan Mac lalu.

Jadi berlakunya perbincangan serius untuk menelesuri dengan lebih mendalam menerusi platform Threads, netizen tempatan yang terjejas tampil berkongsi kisah peribadi yang ditimpa ujian berat ini.
Dimulakan dengan seorang netizen bernama Yusof berkongsi realiti rakan dan kliennya dari kalangan warga tempatan yang bekerja dengan syarikat berpengkalan di Amerika Syarikat telah pun membuang sejumlah besar pekerja sehingga menjejaskan punca pencarian pendapatan ramai.
Seorang wanita bernama Yana pula bercerita kisah peribadinya sendiri yang turut dibuang oleh sebuah syarikat multinasional susulan mereka mahu mengurangkan jumlah pekerja di Malaysia.
Kenapa? Difahamkan syarikat tersebut menukar strategi dalam menjimatkan kos adalah dengan pengambilan pekerja dari negara Filipina yang relatifnya boleh diberi upah yang rendah.
“Salah satu cabaran bekerja dengan syarikat multinasional (MNC) yang mengamalkan model kerja jarak jauh (remote work) adalah wujudnya risiko syarikat memindahkan peranan tersebut ke negara yang menawarkan kos buruh yang lebih rendah,” kongsi realiti sebenar bekerja dengan syarikat MNC.
Terdapat beberapa bahagian peranan lain yang turut dipindahkan kepada tenaga kerja di Filipina kerana gaji dibayar separuh lebih rendah berbanding pekerja di Malaysia.
Bagaimanapun, syarikat-syarikat multinasional masih memerlukan sejumlah kecil pekerja tempatan untuk mengendalikan urusan seharian atau berkait perundangan setempat.
Seorang lagi mendedahkan yang dirinya telah dipecat ekoran krisis kewangan syarikat yang kritikal namun masih bernasib baik kerana berjaya menemui pekerjaan baru dalam tempoh 2 bulan berikutnya.
Seorang wanita menceritakan pula disebabkan prestasi rekod jualan yang tidak memberangsangkan selama dua bulan telah dipaksa untuk bertukar status sebagai pekerja sambilan daripada bekerja sepenuh masa dengan alasan tidak mampu menanggung kos gaji yang asal.
Seorang pekerja di sebuah syarikat lain turut berkongsi kisah yang lebih kurang sama apabila jumlah jualan yang menurun sejak tahun 2024 telah memaksa pihak organisasi untuk melakukan pemotongan gaji dan juga pemberhentian pada tahun lalu.
“”Puncanya sebab sales syarikat drop sejak 2024, jadi mereka dah tak mampu nak tampung pekerja. Tahun lepas mereka dah start potong gaji atas persetujuan bersama, tapi masih tak cukup untuk cover kos.
“Sebab tu hujung tahun lepas, syarikat terpaksa keluarkan senarai nama staf untuk VSS atau MSS. Saya rahsiakan nama syarikat ni sebab bukan tempat saya bekerja. Semoga urusan kita semua dipermudahkan” kongsinya.
Tidak sekadar berkongsi kisah pemecatan mengejut ini, perbincangan diteruskan dengan hujah yang realistik dilontarkan oleh beberapa netizen dimana syarikat-syarikat pada masa kini pilih mahu mengecilkan skala untuk menjimatkan kos.
Langkah efektif yang boleh diambil adalah dengan membuang pekerja senior dan mengambil pekerja dari kalangan graduan baharu dengan tawaran gaji yang rendah.
Sebahagian netizen juga merasakan timbulnya isu di mana pengukuhan Ringgit Malaysia ini mungkin menjadikan kos sudah tidak efektif lagi untuk mengambil pekerja Malaysia untuk syarikat antarabangsa.
Dengan peningkatan kos inilah telah membuka peluang buat negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam yang dipercayai bakal mendominasi pekerjaan di dunia perkilangan sementara Filipina pula akan mengambil alih kerja pejabat dan outsource.
Antara syarikat yang paling ketara terjejas adalah dalam bidang media yang mana hanya menawarkan pekerjaan secara kontrak dan juga penggunaan AI untuk kos efektif.
Kesimpulannya, gelombang pemberhentian pekerja yang menjejaskan lebih ribuan pekerja di Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini didorong oleh tekanan ekonomi dan strategi pengoptimuman kos oleh syarikat, terutamanya syarikat multinasional (MNC).