Syarikat pembuat sarung tangan getah Malaysia, WRP Asia Pacific Sdn., akan memulakan proses penutupan operasi perniagaannya pada bulan ini, lapor The Star.
Langkah tersebut diambil berikutan ‘gangguan teruk merentasi rantaian bekalan tenaga dan petrokimia global’ yang berpunca daripada konflik di Timur Tengah.
WRP telah mengalami peningkatan kos yang ‘ketara’ bagi bahan mentah dan kimia berasaskan petrokimia, selain berdepan ketidakpastian mengenai tempoh perolehan serta pembekal yang semakin kerap menuntut bayaran pendahuluan.
Demikian menurut syarikat itu dalam satu surat bertarikh 31 Mac yang dialamatkan kepada para pelanggan, yang telah disemak oleh pihak Bloomberg News.
“Keadaan yang tidak diduga ini telah memaksa kami untuk membuat keputusan yang sukar tetapi perlu bagi memulakan proses penutupan operasi perniagaan berkuat kuasa 15 April,” menurut surat tersebut.
Kos melonjak tinggi
Pengumuman ini dibuat ketika peperangan yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan Israel mencetuskan kejutan bekalan minyak terbesar dalam tempoh beberapa dekad, sekali gus meningkatkan inflasi, menggugat pasaran kewangan, dan meningkatkan kos pelbagai barangan daripada makanan sehingga bahan api.
Situasi ini turut meletakkan industri seperti pengilang sarung tangan getah dalam risiko, memandangkan mereka bergantung kepada import lateks nitril — sejenis getah sintetik — yang harganya berkait rapat dengan pasaran tenaga.
Surat tersebut dan proses penutupan yang bakal berlaku telah disahkan oleh Nadarajah Swaminathan, pengurus besar operasi syarikat itu.
Beliau menambah bahawa syarikat kini sedang menunggu maklum balas daripada pemegang saham, dan terdapat kemungkinan bakal pembeli syarikat pembuat sarung tangan tersebut akan muncul.
Selat Hormuz tutup, sukar dapat bahan mentah
Beberapa hari sebelum WRP menghantar surat tersebut, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) telah memberi amaran bahawa sekatan di Selat Hormuz telah menyebabkan kekurangan bahan mentah utama.
Keadaan ini memberikan ‘tekanan kewangan yang amat besar kepada pengilang tempatan’ serta mengancam bekalan sarung tangan perubatan global.
Gangguan terhadap bekalan minyak mentah dunia dan operasi penapisan telah menyebabkan kos bahan mentah melonjak lebih daripada 50%. Hal ini mendorong pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corp. Bhd., untuk menaikkan harga, menurut kenyataan syarikat itu kepada Bloomberg.
Syarikat tersebut turut menggalakkan pelanggan untuk mempertimbangkan penggunaan sarung tangan getah asli sebagai alternatif.
“Bahan mentah utama yang terjejas ialah lateks nitril, iaitu bahan asas penting dalam pengeluaran sarung tangan nitril,” jelas Top Glove.
Syarikat itu menambah bahawa gangguan akibat peperangan telah mengecilkan bekalan butadiene dan acrylonitrile—bahan kimia yang memberikan sifat elastik dan daya tahan kepada sarung tangan.
Top Glove menyatakan bahawa mereka mempunyai inventori bahan mentah yang mencukupi untuk bulan April dan sedang proaktif dalam mendapatkan bekalan bagi bulan Mei demi memastikan penghantaran kepada pelanggan tidak terganggu.