Berbaki dua hari lagi untuk mendengar berita gembira agihan dividen 2025 bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan jangkaan kadar antara 6.3 peratus hingga 6.5 peratus.
Dalam masa yang sama, rata-rata pencarum di media sosial menaruh harapan agar wang dividen tersebut dikreditkan sepenuhnya ke dalam Akaun 3 (Akaun Fleksibel) yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
Permintaan tersebut dilihat mempunyai rasional tersendiri memandangkan ramai ketua keluarga memerlukan tunai tambahan bagi menampung persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Isu ini terus menjadi perdebatan hangat dalam kalangan netizen di pelbagai platform.
Penjelasan Rasmi KWSP
Bagaimanapun, pihak KWSP baru-baru ini telah menjelaskan bahawa pengagihan dividen akan dilakukan secara berasingan berdasarkan jumlah baki simpanan dalam setiap akaun ahli.
Ini memberi gambaran jelas bahawa dividen akan dikreditkan mengikut nisbah baki akaun semasa, selaras dengan struktur akaun sedia ada iaitu:
75% ke Akaun Persaraan (Akaun 1)
15% ke Akaun Sejahtera (Akaun 2)
10% ke Akaun Fleksibel (Akaun 3)
Pihak KWSP turut menegaskan bahawa proses pengagihan ini adalah tertakluk sepenuhnya kepada dasar sedia ada.
Oleh itu, penyelarasan kredit dividen secara eksklusif ke dalam Akaun Fleksibel adalah tidak dapat dilaksanakan bagi mematuhi garis panduan pengurusan akaun yang berkuat kuasa.
Apa pendapat anda? Adakah anda lebih selesa dividen dibahagikan mengikut akaun atau anda mempunyai cadangan lain?