Isu kekejaman Ah Long terhadap si peminjam sememangnya menjadi mimpi ngeri apatah lagi bila alamat kediaman lama telah menjadi sasaran.
Pemilik rumah yang berikutnya secara tidak langsung akan menjadi mangsa keadaan walaupun tidak berkaitan dengan peminjam hutang yang lama.
Kebiasaannya cara ugutan yang paling berkesan dan menonjol sudah semestinya dengan lemparan cat merah di kediaman atau harta benda pemilik.
Namun, berlaku penganaiyaan kepada pemilik baharu apabila kumpulan ah long akan secara berterusan menyasarkan alamat kediaman yang diberikan oleh peminjamnya tanpa menyelidik siapa yang menduduki rumah tersebut.
Baru-baru ini, tular di platform Threads di mana terdapat sebuah gambar yang memperlihatkan keadaan sebuah rumah yang terpaksa meletakkan kain rentang dengan mesej berintikan amaran kepada ah long.
“Alamat ini digunakan secara tidak sah oleh penghuni terdahulu untuk pinjaman ah long. Kami tiada kaitan dengan mereka dan tidak terlibat dengan pemberi pinjam yang tidak berlesen.
“Jangan libatkan kami dalam hal ini. Sebarang gangguan akan dilaporkan kepada polis,” tegasnya.
Sebagai langkah berjaga, pemilik rumah tersebut turut memaklumkan terdapat kamera litar tertutup yang boleh merakam sebarang perbuatan khianat jika berlaku.

Melihat secara teliti pada gambar berkenaan, terdapat kesan sisa seakan cat merah yang masih melekat pada bahagian jubin dan dinding sekaligus memberi gambaran jelas terdapat kes simbahan cat di situ.
Perkongsian di media sosial itu langsung mengundang simpati para netizen yang melihatnya kerana percaya perbuatan khianat ini mungkin sudah dialami sejak sekian lama.
Sebahagian netizen turut mendakwa mempunyai pengalamai peribadi berdepan situasi yang sama dan lebih teruk lagi jiran sebelah juga menjadi mangsa keadaan.
Selain berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan menjejaki dalang di sebalik kegiatan ceti haram, netizen juga mengingatkan orang ramai untuk menyemak latar belakang hartanah yang mahu dibeli demi ketenangan di masa kelak.