Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan pengeluar makanan sejuk beku, Ramly Burger dan syarikat ais bersetuju menangguhkan kenaikan harga produk masing-masing.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas dipanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memberikan penjelasan tentang rasionalisasi langkah semakan harga itu, petik Malaysiakini.

Baca Juga:

Dalam satu pertemuan pada Selasa lalu,  kedua-dua syarikat berkenaan telah diberikan nasihat sewajarnya. Pada masa sama turut disarankan merujuk dengan Bahagian Penguat Kuasa KPDN sebelum menaikkan harga produk masing-masing.

“Kedua-dua syarikat ini telah maklumkan pada 1 Julai lepas (Selasa) bahawa mereka menangguhkan untuk menaikkan harga.

“Kita nasihatkan sekiranya benar, ada maklumat tertentu yang perlu mereka bekalkan yang dituntut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.

Difahamkan kedua-dua syarikat mahu menaikkan harga produk mereka kerana peningkatan kos operasi. Ia bukanlah disebabkan pelaksanaan semakan kadar dan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) baru-baru ini.

Sumber