Isu perselisihan faham di alam maya antara warga Malaysia dan Indonesia bukanlah perkara asing, namun apabila isu sensitif disentuh tanpa asas yang kukuh, ia sering kali memakan diri sendiri.
Baru-baru ini, tindakan pelakon Indonesia, Boy Hamzah, yang memuat naik kenyataan provokasi mengenai Malaysia menjadi bualan hangat selepas penampilannya dalam sebuah program bual bicara televisyen di Indonesia tular di media sosial.
Niat asal pelakon tersebut untuk mempertahankan tindakannya bertukar menjadi detik memalukan apabila dia kelihatan hilang kata-kata dan memberikan respon tidak menentu sewaktu diajukan soalan oleh pengacara program berkenaan.
Detik Tergagap Dan Respon Berbelit Di Hadapan Kaca Televisyen
Hadir sebagai tetamu dalam rancangan Pagi Pagi Ambyar terbitan Trans TV, Boy Hamzah cuba menjelaskan punca yang mencetuskan rasa tidak puas hatinya.
Menurut Boy, rasa nasionalismenya tercalar selepas melihat hantaran seorang individu yang didakwa guru merendahkan bendera Indonesia dengan menyifatkannya sebagai barang mudah koyak.
Bagaimanapun, suasana bertukar canggung apabila hos lelaki program tersebut, Rian Ibram, bertanyakan soalan ringkas mengenai apakah sebenarnya kenyataan balas yang cuba disampaikannya
Soalan tersebut membuatkan Boy Hamzah terdiam seketika dan mengulang frasa kenyataan saya beberapa kali dalam keadaan tergagap sebelum cuba mengalihkan topik perbualan.
“Statement kamu apa,” soal ringkas tetapi cukup membisukan si Boy Hamzah.
Bukannya memperincikan kenyataan yang dibuat, dia sebaliknya mendakwa dirinya tidak mencari populariti dan tidak lagi berminat dengan dunia hiburan kerana mahu menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan.
Boy kemudiannya mendakwa warga Malaysia sering menganggap masyarakat Indonesia sebagai masyarakat kelas dua, dengan memberi alasan bahawa ramai warganegara Indonesia yang bekerja di Malaysia disindir oleh warganet tempatan.
Kematangan Hos Lelaki Patahkan Provokasi Murahan
Melihat perbincangan yang semakin emosional dan tersasar, Rian Ibram memotong hujah tersebut dengan pandangan yang tenang dan matang.
Rian menegaskan bahawa selagi masyarakat Indonesia tidak meletakkan diri mereka sebagai bangsa kelas dua, tiada sebab untuk mereka berasa tersinggung.
Rian turut menjelaskan bahawa perselisihan faham antara netizen Malaysia dan Indonesia di media sosial merupakan perkara lama yang diibaratkan seperti hubungan cinta dan benci, terutamanya apabila melibatkan perlawanan bola sepak, namun kedua-dua pihak biasanya akan kembali berbaik dan saling membela antara satu sama lain.
Beliau secara berterus-terang membangkitkan andaian bahawa tindakan Boy Hamzah itu kelihatan seperti sengaja menyiram petrol ke dalam api yang marak.
Apabila ditanya mengenai reaksi pencipta kandungan dari Malaysia yang membalas kenyataannya, jawapan yang diberikan oleh Boy bertambah mengelirukan.
Dia mendakwa matlamatnya masih belum selesai dan meminta orang ramai menantikan video seterusnya.
Setelah mencetuskan ketegangan, Boy akhirnya mengakui berasa bingung mengapa dirinya dipanggil ke program berkenaan dan menyatakan bahawa hubungan persahabatan antara dua negara serumpun tidak sepatutnya hancur.
Pujian Buat Rian Ibram, Netizen Malaysia Selar Sikap Baling Batu Sembunyi Tangan
Klip temu bual tersebut dengan pantas tular di aplikasi Threads dan mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warganet Malaysia mahupun Indonesia.
Rata-rata netizen meluahkan rasa hormat dan memuji kecerdikan Rian Ibram yang mengendalikan temu bual itu dengan fikiran waras, bijak dan tidak menyokong tindakan provokasi yang tidak berfaedah.
Sebahagian netizen menyelar sikap Boy Hamzah yang disifatkan berani bercakap besar ketika bersendirian di belakang kamera telefon, namun mula gagap dan berbelit-belit apabila diminta berhujah secara berhadapan di ruang awam.
Ada juga komen yang menegaskan bahawa watak seperti inilah yang sering merosakkan keharmonian dan mengeruhkan suasana persahabatan kedua-dua buah negara.
Dalam pada itu, warga maya turut berpesan agar masyarakat di kedua-dua negara tidak mudah memukul rata keseluruhan rakyat hanya kerana perbuatan segelintir individu yang dahagakan perhatian.
Hakikatnya, hubungan antara Malaysia dan Indonesia dibina atas dasar sejarah, budaya, dan persaudaraan yang panjang.
Insiden ini membuktikan bahawa kematangan berfikir sentiasa mampu menewaskan provokasi kosong, dan usaha untuk melaga-lagakan dua negara serumpun demi kepentingan peribadi akhirnya hanya akan membuka pekung di dada sendiri.