Malaysia terus memperbaiki kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila naik 7 anak tangga dan kini berada di 130 dunia berbanding 137 pada kemas kini terdahulu, 26 Oktober 2023.

Keputusan itu adalah hasil daripada kejayaan skuad Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Chinese Taipei 1-0 ketika saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung pada minggu lalu.

Baca Juga:

Kemenangan ke atas pasukan ranking 97 dunia (Kyrgyzstan) menyaksikan Malaysia memperolehi tambahan sebanyak 15.49 mata ranking FIFAย  dan ia juga adalah kemenangan pertama Harimau Malaya ke atas pasukan 100 terbaik dunia dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Selepas menewaskan Chinese Taipei, Malaysia telah memperolehi tambahan mata sebanyak 10.65 dan sekaligus menjadikan jumlah mata yang dikutip pada bulan ini ialah sebanyak +26.15.

Ini adalah jumlah mata yang paling banyak dikutip oleh Malaysia berbanding keputusan perlawanan negara lain di Asia menurut laman sesawang Football-ranking.com

Pasukan yang mengutip mata terbanyak di dunia ialah negara dari afrika iaitu Comoros (+30.88) dan kedua ialah Romania (+26.21).

Secara keseluruhan, Malaysia telah mengumpulkan mata sebanyak 1122.87 dan semakin menghampiri kelompok 120 dunia.

Kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 120 dunia adalah pada tahun 2001 iaitu di tangga ke-128 dunia.

Kemenangan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia cukup penting kerana ia menawarkan mata ranking lebih besar daripada aksi persahabatan antarabangsa.

Selain itu, aksi Piala Asia 2023 pada bulan Januari 2024 di Qatar juga merupakan peluang terbaik untuk Harimau Malaya mendaki lebih tinggi dalam kedudukan ranking FIFA kerana jumlah mata yang ditawarkan cukup banyak.

Kemudian, mereka akan menyambung aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bertemu Oman pada 21 Mac di tempat lawan sebelum bertemu pasukan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Mac 2024.