Pada hari ini ramai pengguna terpaksa menunggu lama untuk menggunakan perkhidmatan LRT ke pejabat masing-masing.
Dalam satu kenyataan rasmi dikongsikan pihak Rapid KL, terdapat gangguan berlaku di Laluan Kelana jaya, di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Bangsar.
Baca Juga:
- Rapid KL Tambah Tempoh Masa Berhenti Untuk Elak Penumpang Berlari Semasa Tukar Tren MRT
- Rapid KL Umum 16 Stesen LRT Laluan Kelana Jaya Akan Digantung Operasi Selama 7 Hari
- Seolah Tiada ‘Common Sense’, Penumpang Tinggalkan Najis Dalam Bas Rapid KL Buat Netizen Geli
Menurutnya, isu gangguan suis landasan itu dilaporkan berlaku pada jam 5.30 pagi tadi.

“Sebagai langkah keselamatan, tren dari Stesen Pasar Seni ke Stesen Bangsar menghala ke Putra Heights dipandu secara manual, menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan di antara dua stesen tersebut.
“Pasukan kejuruteraan Rapid Rail kini berada di lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk mengembalikan operasi normal secepat mungkin,” kata Rapid KL.
Pada masa sama, polis bantuan dan petugas stesen telah ditempatkan di platform dan ruang legar stesen bagi membantu penumpang, serta memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang.
“Penumpang dinasihatkan untuk merujuk pada laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini.
“Rapid Rail memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama daripada semua pengguna,” jelasnya lagi.
Ramai pengguna tidak puas hati perkhidmatan LRT bermasalah

Menerusi tinjauan media sosial, ramai pengguna berasa tidak puas hati atas gangguan perkhidmatan LRT yang berlaku pada pagi ini.
Pengguna mempersoal mengapa kerja-kerja baik pulih mengambil masa yang begitu lama, walaupun isu dilaporkan berlaku pada jam 5.30 pagi tadi.
Pada masa sama pengguna menggesa pihak Rapid KL untuk menyediakan bas, van ulang-alik bagi membantu mudahkan pengguna ke destinasi masing-masing.

Dalam pada itu, ada netizen meminta pengguna terjejas mendapatkan ‘Train Delay Slip‘ di kaunter stesen LRT sebagai ‘bukti’ sebab kelewatan ke pejabat.