Kebanyakkan penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor memilih perkhidmatan pengangkutan awam untuk pergi ke tempat kerja bagi menjimatkan wang dan mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Seorang pengguna akaun Twitter @payott berkongsi satu rakaman video di mana pengguna-pengguna MRT berlari cuba masuk ke dalam tren yang berada di laluan bertentangan.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Difahamkan rakaman video itu melibatkan penumpang kedua-dua laluan MRT Kajang dan Putrajaya yang perlu bertukar tren setiap kali waktu puncak, pergi dan pulang dari tempat kerja.

Ramai netizen menyamakan situasi tersebut seperti filem survival atau zombie di mana pengguna terpaksa ‘bersaing’ antara satu sama lain untuk masuk ke dalam tren lain untuk menuju ke destinasi seterusnya.

Jika tidak sempat, pengguna MRT terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum tren yang seterusnya tiba ke stesen tersebut.

Terdahulu, susulan video tersebut tular, wakil Twitter @askrapidkl tampil memberikan penjelasan mengapa situasi tersebut boleh berlaku. Difahamkan kekerapan tren laluan MRT Kajang dan laluan Putrajaya adalah berbeza dan kekerapan kedua-dua laluan tersebut tidak dapat diselaraskan buat masa ini.

Pada masa sama, tren laluan Kajang dan Putrajaya beroperasi dengan frekuensi berbeza berdasarkan jadual waktu tertentu. Kekerapan tren bergantung pada jumlah stesen dan ketersediaan tren MRT.

Tambah Rapid KL lagi, penyelarasan itu masih tidak boleh dibuat pada waktu ini kerana laluan Putrajaya masih dalam fasa ujian operasi dan kekerapan laluan tersebut sekitar 8 minit.

Dalam satu kemas kini terbaharu, pihak Rapid KL akan melaksanakan penambahan tempoh tren berhenti di platform tersebut. Selain itu, pengumuman ketibaan tren juga akan dibuat agar penumpang tidak perlu tergesa-gesa.

Pengumuman bagi memohon penumpang untuk tidak berlari dan bersabar menunggu tren berikutnya juga akan dibuat sebagai peringatan keselamatan semua penumpang.