Pemain tengah, Muhammad Akram bin Mahinan bakal menikmati angin baharu dalam kariernya selepas memilih untuk menyertai Terengganu.

Khidmat Akram nyata ditagih ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner selepas beliau beraksi cemerlang bersama Kuala Lumpur (KL) City terutamanya pada musim 2021 dan 2022.

Baca Juga:

Perkembangan terkini mengenai kehadiran pemain berusia 31 tahun itu diumumkan Terengganu menerusi laman sesawang rasmi kelab tersebut.

“Akram Mahinan kini secara rasminya diumumkan sebagai pemain Terengganu FC bagi musim 2024/2025.”

“Pemain yang beraksi di posisi tengah ini telah menandatangani kontrak untuk bersama pasukan ini bagi tempoh selama 1 musim.”

“Beliau turut menyatakan bahawa beliau sudah tidak sabar untuk beraksi bersama pasukan ini serta memberi harapan untuk membantu pasukan ini mendapatkan kejayaan pada musim 2024/2025.”

“Pengurusan kelab Terengganu FC mengucapkan selamat datang kepada pemain Akram Mahinan, dan diharapkan dengan kehadirannya bakal memberikan impak luar biasa untuk kelab ini,”

Difahamkan, bekas pemain skuad negara itu memilih untuk berkelana ke Terengganu kerana corak permainan pasukan tersebut dibawah kendalian Steinbruckner telah menarik minat beliau.

Akram merasakan corak permainan diterapkan pengendali kelahiran Croatia itu amat sesuai dengannya dan ianya memberikan keyakinan buat dirinya untuk hadir memperkuatkan jentera tengah pasukan Terengganu FC.

Sementara itu dalam perkembangan lain, spekulasi kuat mengatakan bahawa Terengganu akan mengumumkan kehadiran dua pemain skuad kebangsaan bagi memperkuatkan jentera pasukan untuk menghadapi kempen 2024/25.

Sumber