Senegal secara rasmi kembali dinobatkan sebagai juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan rayuan Persatuan Bola Sepak Senegal (FSF) terhadap keputusan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).

Sebelum ini Marca melaporkan bahawa keputusan CAS berpihak kepada Maghribi. Namun sebaliknya yang berlaku.

Keputusan itu sekali gus membatalkan keputusan Jawatankuasa Rayuan CAF yang sebelum ini menarik balik gelaran juara Senegal dan memberikan kemenangan 3-0 secara percuma kepada Maghribi.

Menerusi kenyataan rasmi CAS pada Selasa, badan kehakiman sukan tertinggi itu mengesahkan bahawa rayuan FSF terhadap CAF dan Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF) telah dibenarkan.

CAS turut mengetepikan keputusan Jawatankuasa Rayuan CAF dan mengembalikan keputusan asal Jawatankuasa Disiplin CAF.

Ini bermakna keputusan perlawanan akhir AFCON 2025 yang menyaksikan Senegal menewaskan Maghribi 1-0 kekal sah.

Dalam kenyataan tersebut, CAS menyatakan:

“Keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Rayuan CAF diketepikan dan keputusan Jawatankuasa Disiplin CAF dikembalikan.

“Sehubungan itu, keputusan yang diperoleh pada penghujung perlawanan akhir AFCON 2025 disahkan (1-0 untuk Senegal).”

Kontroversi ini bermula ketika perlawanan akhir pada Januari lalu apabila pemain Senegal meninggalkan padang sebagai tanda protes selepas Maghribi diberikan sepakan penalti pada penghujung masa permainan.

Selepas perlawanan disambung semula, Brahim Diaz gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum Pape Gueye menjaringkan gol kemenangan Senegal dalam masa tambahan.

Bagaimanapun, pada 17 Mac lalu, Jawatankuasa Rayuan CAF memutuskan Senegal telah menarik diri daripada perlawanan dan memberikan kemenangan 3-0 kepada Maghribi.

Senegal kemudian membawa kes tersebut ke CAS pada 25 Mac 2026 bagi mencabar keputusan berkenaan.

Kini, selepas melalui proses rayuan yang panjang, Senegal akhirnya mendapat kembali pengiktirafan sebagai juara AFCON 2025.

Maghribi yang sebelum ini diberikan gelaran juara menerusi keputusan CAF kini kehilangan status tersebut berikutan keputusan CAS yang mengesahkan kemenangan asal Senegal.