Kemelut yang melanda bola sepak Senegal nampaknya masih belum berakhir apabila satu lagi pendedahan mengejutkan didedahkan oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF), Abdoulaye Fall.

Selepas isu tunggakan elaun pemain, kontrak ketua jurulatih yang hanya dimuktamadkan sehari sebelum pasukan berlepas ke Piala Dunia, penginapan yang dikritik penyokong serta konflik membabitkan pemain senior, kini tumpuan terarah kepada isu berkaitan doktor pasukan kebangsaan mereka.

Menurut Presiden FA Senegal Abdoulaye Fall, dalam satu sidang media, beliau mengesahkan doktor yang telah berkhidmat bersama skuad kebangsaan Senegal sejak sedekad lalu sebenarnya merupakan seorang pakar sakit puan (gynecologist), bukannya doktor yang mempunyai kepakaran dalam perubatan sukan.

“Doktor pasukan kami tidak mempunyai latar belakang akademik yang menyokong untuk membantu atlet kami.

“Perkara ini saya sedari agak lewat, kerana Dr. Fédior sebenarnya merupakan seorang pakar sakit puan mengikut sijil akademiknya,” kata Abdoulaye Fall.

Pendedahan itu mengejutkan ramai pihak kerana Dr. Fédior dilaporkan sudah menjadi doktor pasukan kebangsaan Senegal selama kira-kira 10 tahun.

Susulan kenyataan tersebut, ramai penyokong Senegal meluahkan rasa kecewa di media sosial. Ada yang berpendapat situasi itu mungkin menjadi antara faktor mengapa beberapa pemain mengambil masa yang lama untuk pulih daripada kecederaan, walaupun kecederaan yang dialami dilihat tidak begitu serius.

Pendedahan ini sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai pengurusan dalaman bola sepak Senegal yang sebelum ini sudah pun dikritik hebat susulan pelbagai isu pentadbiran yang timbul sepanjang kempen Piala Dunia.

Selain itu ada juga peminat membuat spekulasi bahawa, semua ini berlaku kerana korupsi dalam FA Senegal itu sendiri ketika Dr Fedior dilantik.

Abdoulaye Fall adalah presiden yang baru dilantik tahun lalu.

Ada juga yang kagum dengan pasukan Senegal. Walaupun selama ini dikendalikan doktor sakit puan, pasukan tersebut telah berjaya memenangi kejuaraan Afrika dan layak ke Piala Dunia dalam tempoh tersebut.