Pengurus PSG, Luis Enrique mengesahkan bahawa Gianluigi Donnarumma tidak lagi bersama dengan skuad PSG.

Sebelum ini terdapat desas desus menyatakan bahawa PSG sudah memberikan amaran kepada Donnarumma bahawa dia bakal disisihkan daripada skuad utama jika dia tidak mahu melanjutkan kontrak baharu bersama juara Eropah itu.

PSG dan Donnarumma masih gagal mencapai kesepakatan kontrak baharu. Dengan pemain itu dikatakan tidak berpuas hati dengan jumlah gaji yang ditawarkan.

Namun Enrique pula menegaskan bahawa, Donnarumma tidak lagi diperlukan di dalam skuad PSG atas kehendaknya. Dan ianya atas alasan taktikal semata mata.

“Donnarumma sudah dikeluarkan daripada skuad ini, dan ianya adalah keputusan saya sendiri yang buat. Dan saya 100% bertanggungjawab ke atasnya.

“Saya mahukan penjaga gol baharu yang berbeza corak permainannya. Dan saya sudah putuskan. Gigio adalah salah seorang penjaga gol terbaik di dunia.”

Donnarumma ternyata kecewa dengan penyingkiran namanya daripada skuad. Dia menegaskan ada seseorang yang menjadi dalang semua ini.

Donnarumma berkata: “Sejak hari pertama saya tiba, saya telah memberikan segala-galanya – di dalam dan luar padang – untuk mendapatkan tempat saya dan mempertahankan gawang Paris Saint-Germain.

“Malangnya, seseorang telah memutuskan bahawa saya tidak lagi boleh menjadi sebahagian daripada pasukan dan menyumbang kepada kejayaan kelab. Saya berasa kecewa dan patah hati.

“Saya berharap dapat berpeluang untuk menatap mata para peminat di Parc des Princes sekali lagi dan mengucapkan selamat tinggal seperti yang sepatutnya.

“Jika itu tidak berlaku, saya mahu anda tahu bahawa sokongan dan kasih sayang anda amat bermakna bagi saya, dan saya tidak akan melupakannya.

“Saya akan sentiasa membawa bersama kenangan segala emosi, malam-malam penuh magis, dan anda semua yang membuat saya berasa seperti di rumah sendiri.

“Kepada rakan sepasukan saya – keluarga kedua saya – terima kasih atas setiap pertarungan, setiap ketawa, dan setiap detik yang kita kongsikan. Anda semua akan sentiasa menjadi saudara saya.

“Bermain untuk kelab ini dan tinggal di bandar ini adalah suatu penghormatan yang amat besar.”

Dua kelab Manchester mulai dikaitkan dengan penjaga gol itu sejak minggu lalu.

Namun kedua dua kelab masih berharap bahawa penjaga gol tersebut tidak terlalu mahal. PSG dilaporkan mahukan sekurang kurangnya €50 juta untuk penjaga gol tersebut.