Kedah Darul Aman (KDA) FC terus memantapkan jentera pasukan selepas mengumumkan kehadiran pemain tengah lincah dari Terengganu, Faiz Nasir.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan KDFA FC sebentar tadi, Faiz yang bakal menjengah usia 32 tahun pada Julai ini menyertai kelab tersebut secara pinjaman.

Baca Juga:

Kehadiran Faiz menyarung jersi skuad ‘Hijau Kuning’ itu turut menyaksikan pertemuan semula beliau untuk sekali lagi berada dibawah kendalian Nafuzi Zain.

Keadaan itu sudah pastinya mudah buat beliau untuk menyesuaikan diri dengan cepat taktikal yang bakal diterapkan pengendali pasukan tersebut.

“KDA FC dengan bangga mengumumkan ketibaan Muhammad Faiz Bin Mohd Nasir, pemain yang pernah dirisik barisan kejurulatihan Kedah suatu masa dahulu.”

“Antara pemain bertubuh kecil namun lincah mangatur gerakan dan turut menjaringkan gol penting dan berkelas dunia ketika Final Piala Malaysia 2018 menentang Perak.”

“Pemuda berusia 32 tahun ini akhirnya berjaya disunting pihak pengurusan secara kontrak pinjaman dari Terengganu FC.”

“Rezekinya kali ini bersama Sang Kenari, beliau berazam untuk bangkit menyamai prestasi kemuncaknya bersama Terengganu suatu masa dahulu.”

“Cukup masa untuk bercakap, masa untuk bekerja,” ujar kenyataan dikeluarkan laman Facebook rasmi KDA FC.

Meskipun berasal dari Kelantan, Faiz mencipta nama sewaktu bersama Terengganu pada musim 2017 dan 2018. Beliau kemudiannya berhijrah ke Selangor pada musim berikutnya.

Jodohnya dengan Selangor hanya bertahan semusim dan beliau memilih untuk kembali semula ke Terengganu dan berikutan kurang minit permainan, Faiz Nasir telah dipinjamkan ke Kelantan United pada musim lalu.