Perak terus menjadi pasukan yang aktif di jendela perpindahan musim 2024/25 apabila mengumumkan kehadiran Muhammad Haziq Nadzli.
Haziq yang berusia 26 tahun dipinjamkan selama semusim dari kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Baca Juga:
- RASMI: Luiz Henrique Motta Sertai Perak
- RASMI: Perak Umum Kehadiran Adilet Kanybekov
- Perak Lancar Jersi ‘Home’ Musim 2024/25, Dilengkapi Kod QR Untuk Daftar Sebagai Pemilik
Perkembangan terkini mengenai kedatangan Haziq itu disahkan laman sosial Perak FC menerusi satu video pengenalan yang dimuat naik sebentar tadi.
Dengan kedatangan benteng terakhir yang pernah menjadi tunjang kekuatan skuad Malaysia bawah 23 tahun ini menyaksikan Perak sudah memiliki dua penjaga gol berkualiti.
Hal ini kerana pada Februari lalu, skuad Yob itu telah mengumumkan kehadiran penjaga gol utama PDRM FC musim lalu, Mohamad Ramadhan Ab. Hamid.
Lebih menarik untuk diperkatakan, kedua-dua penjaga gol tersebut pernah beraksi bersama PDRM FC dalam saingan Liga Super Malaysia.
Perak jelas serius mahu memantapkan posisi penjaga gol kerana mereka dibolosi sebanyak 55 gol dalam 26 aksi liga yang dilalui pada musim lalu.
Satu keputusan yang nyata tidak menghairankan dan sememangnya langkah proaktif diambil untuk mengatasi masalah tersebut bagi menghadapi musim baharu.
Dengan kehadiran Haziq Nadzli bermakna Perak sudah membawa masuk lapan pemain baharu dimana sebelum ini telah merekrut Luiz Henrique Motta (Brazil), Lee Tae Min (Korea Selatan), Adilet Kanybekov (Kyrgyzstan), Ariff Ar-Rasyid Ariffin, Mohamad Ramadhan Ab. Hamid, Nur Azfar Fikri Azhar dan Tommy Mawat.