Legenda Brazil, Ronaldinho sekali lagi mencuri perhatian dunia bola sepak apabila dilaporkan menyertai kelab Serie C Itali, Ravenna FC pada usia 46 tahun. Namun, peminat yang berharap dapat melihat aksi magisnya di atas padang perlu menerima hakikat bahawa beliau bukan kembali sebagai pemain profesional.

Menurut laporan media Itali dan antarabangsa, Ronaldinho akan memegang peranan sebagai pemegang saham, pelabur strategik serta duta pemasaran kelab tersebut dalam usaha membantu meningkatkan profil Ravenna di peringkat global.

Pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam satu acara khas di Miami pada 23 Jun, dengan pemilik Ravenna, Ignazio Cipriani menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah besar untuk masa depan kelab berkenaan.

Walaupun beberapa laporan awal menggunakan tajuk sensasi seolah-olah Ronaldinho akan kembali beraksi, naib presiden kehormat Ravenna, Ariedo Braida, menegaskan bahawa pemenang Ballon d’Or 2005 itu tidak akan bermain dalam Serie C musim depan. Sebaliknya, beliau akan membantu dari aspek pembangunan jenama dan promosi antarabangsa.

Hubungan antara Ronaldinho dan Braida bukanlah sesuatu yang baharu. Braida merupakan individu yang memainkan peranan penting membawa Ronaldinho ke AC Milan pada tahun 2008, dan hubungan baik itu menjadi salah satu faktor utama kerjasama ini terjalin.

Ronaldinho mengakhiri karier profesionalnya pada 2015 selepas beraksi bersama Fluminense. Sepanjang karier gemilangnya, beliau memenangi Piala Dunia 2002 bersama Brazil, dua anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA dan Ballon d’Or 2005, selain membantu Barcelona menjuarai Liga Juara-Juara Eropah serta La Liga.

Walaupun tidak akan kembali melakukan ‘elastico’ atau jaringan ajaib di Serie C, kehadiran Ronaldinho sudah cukup untuk memberikan publisiti besar kepada Ravenna FC yang sedang berusaha melonjakkan status mereka dalam bola sepak Itali.

“Saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada projek ini dan membawa kegembiraan yang sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan saya dalam bola sepak,” kata Ronaldinho mengenai peranan baharunya bersama Ravenna FC.