Pemain tengah berdarah Malaysia-Finland, Nooa Hamzah Laine telah diumumkan sebagai pemain baharu Selangor bagi menghadapi saingan 2024/25.

Perkembangan terkini kehadiran pemain tengah berusia 21 tahun itu disahkan menerusi laman sesawang rasmi Selangor FC, sebentar tadi.

Pengumuman rasmi itu sekali gus meleraikan spekulasi yang kedengaran beberapa hari kebelakangan ini mengaitkan pemain SJK Seinäjoki tersebut dengan Selangor.

Menurut kenyataan dikeluarkan, Nooa Laine menyertai Selangor secara pinjaman selama semusim dengan pilihan pembelian tetap.

Mengulas mengenai kehadirannya menyarung jersi Selangor, Nooa tidak menolak hakikat bahawa kredibiliti pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe membuatkan beliau memilih skuad Gergasi Merah itu.

“Selangor FC telah lama menghubungi saya untuk menjelaskan peranan dan kepentingan khidmat saya buat pasukan. Sejak dari itu, saya juga telah banyak mendengar perkara-perkara positif berkenaan budaya dan hala tuju kelab dari rakan-rakan sepasukan skuad kebangsaan Malaysia.”

“Sejujurnya, saya gembira dengan keputusan untuk bersama mereka kerana saya yakin Selangor FC akan menjadi kelab yang membantu saya mencapai kejayaan bersama.”

“Antara kelebihan yang saya miliki adalah saya mampu mengimbangi perlawanan di bahagian tengah padang, saya juga boleh menjaringkan gol dari pelbagai sudut dan boleh bermain di pelbagai posisi untuk membantu pasukan musim ini.”

“Bagi saya, bermain di bawah jagaan Tan Cheng Hoe bermaksud saya akan belajar banyak perkara untuk mengembangkan lagi bakat saya sebagai seorang pemain dan ia juga akan membantu pasukan di masa akan datang, kerana saya yakin dia merupakan seorang jurulatih yang hebat,” tambah Noaa Laine menurut sumber laman sesawang Selangor FC.

Sumber