Real Madrid secara rasmi menyampaikan permohonan maaf kepada rakyat China susulan kenyataan penyerang mereka, Kylian Mbappe, yang mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat negara itu.

Menerusi satu kenyataan rasmi, kelab gergasi Sepanyol itu menegaskan bahawa mereka menaruh rasa hormat yang mendalam terhadap China, termasuk sejarah, budaya dan rakyatnya.

Real Madrid turut mengakui hubungan istimewa yang terjalin dengan jutaan penyokong mereka di China yang sentiasa memberikan sokongan dan mengagumi kelab tersebut.

Kelab itu juga menyatakan sokongan terhadap permohonan maaf secara terbuka yang dibuat Mbappe sebelum ini. Menurut Real Madrid, pemain antarabangsa Perancis itu sudah menyuarakan rasa kesal terhadap kata-katanya dan menegaskan semula rasa hormatnya kepada rakyat China.

“Real Madrid menegaskan semula komitmen kami terhadap nilai-nilai hormat-menghormati, hidup bersama secara harmoni dan persefahaman antara budaya,” menurut kenyataan kelab itu.

Real Madrid turut menyatakan hasrat untuk terus mengukuhkan hubungan persahabatan dan ikatan erat yang menghubungkan kelab itu dengan China serta rakyatnya.

Permohonan maaf tersebut hadir selepas kenyataan Mbappe mencetuskan kontroversi. Dalam klip video yang tular, Mbappe menyatakan bahawa meme paling dia suka adalah orang sunting mukanya pada badan Mao Zedong.

Dia berkata: “Meme diri sendiri kesukaan saya? Yang mereka letak wajah saya pada diktator [Mao Zedong],

“Ianya membuatkan saya ketawa, saya kerap gunakannya dengan kawan kawan saya.”

Beberapa penaja Mbappe dari China sudah menarik tajaan mereka untuk pemain itu. Seterusnya, kerajaan China menyekat siaran langsung La Liga minggu ini kerana kenyataan Mbappe dianggap menghina negarawan mereka.

Mbappe sendiri sudah membuat permohonan maaf dan menegaskan bahawa dia tidak pernah berniat mahu mengguris atau menyinggung perasaan rakyat China.