Real Madrid secara rasmi mengumumkan ketibaan pemain sayap muda sensasi Côte d’Ivoire, Yan Diomande, daripada RB Leipzig dengan kontrak sehingga Jun 2033.
Walaupun nilai perpindahan tidak didedahkan secara rasmi, beberapa laporan menyebut Los Blancos membayar sekitar €125 juta sebagai bayaran tetap, dengan tambahan €15 juta menerusi bonus prestasi. Nilai keseluruhan perpindahan itu boleh mencecah €140 juta.
Sekiranya semua bonus berjaya dicapai, Diomande bakal menjadi pemain termahal dalam sejarah Real Madrid, mengatasi nilai perpindahan Jude Bellingham dari Borussia Dortmund pada 2023.
“Saya sangat gembira kerana impian zaman kanak-kanak saya akhirnya menjadi kenyataan,” kata Diomande selepas diumumkan sebagai pemain baharu Real Madrid.
👋 Bienvenido, Diomande 👋 pic.twitter.com/FJhjPathEC
— Real Madrid C.F. (@realmadrid) August 6, 2026
Pemain berusia 19 tahun itu hanya menghabiskan semusim bersama RB Leipzig selepas menyertai kelab Jerman tersebut dari Leganés pada musim panas 2025.
Dalam musim pertamanya di Bundesliga, Diomande meledak 12 gol dan 9 bantuan jaringan, sekali gus membantu Leipzig menamatkan saingan di tangga ketiga dan layak ke Liga Juara-Juara UEFA.
Prestasi cemerlangnya turut menarik minat Paris Saint-Germain dan Liverpool, namun Real Madrid menjadi pilihan utamanya.
Diomande yang kebiasaannya beraksi di sayap kanan turut mampu bermain di sebelah kiri, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada José Mourinho bagi memperkuatkan jentera serangan Real Madrid.
Kehadirannya melengkapkan jendela perpindahan musim panas yang cukup sibuk buat Real Madrid selepas terlebih dahulu mendapatkan Bernardo Silva, Ibrahima Konaté, Denzel Dumfries dan Marc Cucurella.