Real Madrid mencatatkan kemenangan penting dalam aksi ke-10 LaLiga 2025/26 selepas menewaskan Barcelona 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di The Bernabeu sebentar tadi.

Ia bukan sahaja kemenangan ke atas musuh tradisi, malah jurang mata kedua-dua pasukan semakin besar apabila Real Madrid kini mendahului Barcelona dengan lima mata.

Baca Juga:

Pertembungan El Clasico itu jelas menarik untuk disaksikan dengan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan pantas dalam usaha memburu jaringan.

Real Madrid Lebih Unggul

Real Madrid hampir dihadiahkan sepakan penalti seawal minit kedua tetapi rujukan Video Assistant Referee (VAR) telah menafikan keputusan awal dibuat pengadil, Cesar Soto Grado.

Kylian Mbappe meledakkan jaringan pada minit ke-12 tetapi gol tersebut dibatalkan VAR selepas beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu ditebus Mbappe berselang 10 minit kemudian apabila larian melepasi perangkap ofsaid setelah menerima lorongan cantik Jude Bellingham disudahkannya dengan percubaan yang membolosi gawang Barcelona untuk meletakkan Real Madrid dihadapan.

Penjaga gol Barcelona, Wojciech Tomasz Szczęsny selepas itu dipaksa bekerja keras untuk menafikan percubaan jarak dekat diledakkan Mbappe (minit ke-29) dan Dean Huijsen (minit ke-30).

Barcelona yang turut mengintai peluang mendapatkan jaringan berjaya melakukannya pada minit ke-38 menerusi Fermin Lopez.

Berpunca daripada kesilapan Arda Guler yang gagal mengawal bola di kawasan sendiri, membolehkan Marcus Rashford melakkan ‘cutback’ yang disempurnakan dengan tenang Fermin untuk menyamakan kedudukan.

Kegembiraan pasukan pelawat itu bagaimanapun hanya mampu bertahan empat minit selepas Bellingham yang tidak dikawal dalam kawasan penalti setelah menerima umpanan tandukan dari Eder Militao dengan mudah menolak masuk bola untuk kembali memberikan kelebihan buat Real Madrid.

Mbappe sekali lagi kecewa pada masa kecederaan babak pertama apabila jaringannya terpaksa dibatalkan kerana beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki minit ke-52, sepakan penalti yang diambil bintang kelahiran Perancis itu pula ditepis keluar Szczęsny.

Jaringan yang dihasilkan Bellingham pada minit ke-69 juga dibatalkan kerana Brahim Diaz yang melakukan larian ke arah pintu gol Barcelona berada dalam kedudukan ofsaid.

Usaha kedua-dua pasukan untuk mengubah kedudukan tidak membuahkan hasil sekali gus Real Madrid keluar sebagai pemenang pada El Clasico kali ini.

Dengan Pedri dilayangkan kad merah pada lewat masa kecederaan, kelihatan juga pemain yang tidak disenaraikan dalam perlawanan ini seperti Raphinha dan Antonio Rudiger ‘bertikam lidah’ bersama pemain lain sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan Soto Grado.

Insiden yang terus membuatkan ‘aura’ El Clasico sebenar seolah-olah meresap ke dalam jiwa para pemain kedua-dua pasukan.