Presiden Real Madrid, Florentino Perez dilaporkan mahu mengulangi perpindahan kontroversi seperti dilakukannya ketika mendapatkan Luis Figo dari Barcelona.

Pada Julai 2000, Figo mencetuskan kontroversi dalam sejarah bola sepak selepas meninggalkan Barcelona untuk menyertai Real Madrid dengan yuran perpindahan bernilai £37.2 juta.

Real Madrid menebus klausa pelepasan dalam kontrak Figo bersama Barcelona sekali gus menjadikannya sebagai rekod perpindahan dunia baharu ketika itu.

Ketibaan Figo di Madrid menandakan bermulanya era Galacticos di bawah ‘pemerintahan’ Florentino Perez  menggantikan Lorenzo Sanz sebagai presiden pada 2000.

Berang dengan keputusan itu, penyokong Barcelona sentiasa menyambut dingin kedatangan Figo ke Camp Nou dan pada 2002, Figo dibaling dengan kepala khinzir ketika mahu mengambil sepakan penjuru.

Presiden Real Madrid Minat Dapatkan Pedri

Menurut sumber laporan media di Sepanyol, ElDesmarque mendedahkan bahawa Perez berminat untuk mengulangi sejarah 26 tahun lalu itu.

Sasaran kelab gergasi dari Madrid itu adalah pemain bintang berusia 23 tahun iaitu Pedro González López atau lebih dikenali dengan Pedri.

Walaupun dilihat sebagai amat mustahil untuk Real Madrid mendapatkannya, tetapi Perez memasang impian untuk membawa pemain tersebut ke Santiago Bernabeu.

“Pemain yang ingin ditandatangani oleh Real Madrid untuk musim 2027-28, menurut maklumat yang diterima Juan Gato, ialah Pedri.”

“Anda pasti bersetuju dengan saya bahawa ia akan menjadi satu kejutan yang tidak dijangka, setanding dengan apa yang berlaku dengan Luis Figo pada musim 2000-01,” ujar wartawan ElDesmarque, Jorge Moran.

“Ia bukan sekadar tentang mengukuhkan skuad, ia juga tentang membawa keluar pemain penting dari Barcelona.”

Seorang lagi wartawan, Roberto Gomez, turut mengesahkan berita itu. Dia berkata: “Pemain yang Florentino Pérez mahukan ialah Pedri. Saya hanya ingin berkata sepatah dua patah perkataan kepada anda, Luis Figo.”

Sumber