Real Madrid meminta Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) melucutkan semua gelaran yang dimenangi Barcelona antara 2001 hingga 2018 susulan kontroversi pembayaran kepada bekas naib presiden Jawatankuasa Pengadil Sepanyol, Jose Maria Enriquez Negreira.

Kes tersebut, yang dikenali sebagai skandal Negreira, kini turut mendapat perhatian UEFA apabila badan induk bola sepak Eropah itu menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

Perkembangan ini membuka kemungkinan Barcelona berdepan tindakan disiplin, termasuk larangan menyertai pertandingan Eropah sekiranya didapati melanggar peraturan berkaitan.

Bagaimanapun, permintaan Real Madrid untuk melucutkan semua gelaran Barcelona itu tidak bermakna hukuman berkenaan sudah diputuskan.’

Barcelona menjelaskan bahawa UEFA hanya menerima aduan daripada Real Madrid setakat ini. Dan Barcelona yakin aduan tersebut tidak berasas.

Sebarang tindakan terhadap Barcelona bergantung pada hasil siasatan dan keputusan pihak berkuasa berkaitan.

Skandal Negreira tercetus susulan pembayaran yang dibuat Barcelona kepada syarikat berkaitan Negreira, yang pernah memegang jawatan penting dalam struktur pengadilan bola sepak Sepanyol.

Kes ini mencetuskan persoalan mengenai hubungan antara kelab berkenaan dengan pegawai pengadil, sekali gus menjadi antara kontroversi terbesar yang melibatkan bola sepak Sepanyol dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Setakat ini, sebarang kemungkinan pelucutan gelaran atau penggantungan daripada pertandingan Eropah perlu dibezakan daripada keputusan rasmi yang telah dimuktamadkan.