Pada hari semalam dua pasangan yang dilaporkan bakal menjalinkan pertunangan pada Disember ini maut selepas mereka dirempuh kereta dipandu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang (menghala ke arah Perai).
Terbaharu, remaja itu yang memandu kereta ibunya dibebaskan dengan jaminan polis, lapor Harian Metro.
Baca Juga:
Sebelum itu, Mahkamah Majistret, di sini memerintahkan remaja terbabit direman selama satu hari bagi membolehkan polis melakukan siasatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San, berkata sebaik selesai merekodkan keterangan, remaja terbabit dibebaskan selepas tahanan reman ke atasnya tamat hari ini.
“Melalui siasatan terhadap remaja itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang lesen memandu dan masih bersekolah.
“Ketika kejadian dia yang memandu kereta milik ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Mertajam selepas bertemu dengan rakannya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Cheng San berkata, polis kini sedang melengkapkan siasatan termasuk menghantar sampel darah ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk ujian alkohol dan dadah bagi tindakan selanjutnya.
“Polis juga mengeluarkan saman ke atas ibu remaja terbabit kerana cuai dengan membenarkan anaknya menggunakan kenderaannya tanpa lesen,” katanya.
Dalam pada itu, keluarga mangsa yang maut mahu remaja 16 tahun terbabit menerima hukuman setimpal atas perbuatannya itu sebagai pengajaran atas tindakan yang dilakukan sekiranya ia didapati bersalah kelak.
“Nyawa adik saya tidak boleh dikembalikan lagi. Kami sekeluarga termasuk pihak perempuan semestinya mahukan keadilan atas apa yang terjadi.
“Kalau boleh, biarkan pemandu tersebut ditahan reman lebih lama, tidak cukup hanya sehari. Kami juga mempersoalkan bagaimana dia boleh memandu kereta dalam usia sebegitu dan kenapa tidak dipantau keluarganya,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.