Saya tak boleh makan pulut kerana masalah kesihatan. Tapi setiap kali berhadapan dengannya saya gagal. Paling sedikit pun makan sesuap lebih-lebih lagi pulut kuning yang sedap dimakan bersama rendang masakan Mama.

Sebut tentang pulut kuning, Tuan Hamdi Hanapi pernah berkongsi 3 sebab signifikan dalam keraian orang Melayu. Kalau nak tahu, anda boleh baca di artikel pulut kuning ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Selain pulut kuning, terdapat pelbagai lagi jenis masakan berasaskan pulut yang digemari oleh orang Malaysia. Antaranya ialah 10 hidangan pulut di bawah ini. Setiap satunya disertakan sebuah video berdurasi kurang daripada 5 minit buat panduan memasak anda.

1. Pulut Seri Muka

Merupakan sejenis kuih talam yang mempunyai dua lapisan yang berbeza iaitu lapisan bawah ialah pulut yang berwarna putih sedikit dan lapisan atas ialah kastard pandan yang berwarna hijau.

Kuih berwarna putih dan hijau ini sering dimakan sebagai sarapan atau minum pagi atau petang. Kuih ini juga merupakan antara kuih popular menu semasa bulan Ramadan.

2. Pulut Mangga

Pencuci mulut kegemaran ramai ini berasal daripada Thailand merupakan hidangan pulut yang yang dimakan bersama hirisan mangga serta sos santan.

Hidangan ini sering didapati di restoran makanan Thai. Untuk hidangan pulut mangga yang sedap, pilihlah buah mangga segar yang sudah masak dan rasanya manis.

3. Pulut Durian

Selain pulut mangga, pulut durian juga tak kurang hebatnya bahkan menjadi kegilaan para peminat durian. Hidangan pulut bersama santan dan beberapa ulas durian sememangnya menjadi kegemaran peminat pencuci mulut.

Namun, hati-hati jika anda adalah pesakit diabetes. Hidangan ini amat tinggi gula. Satu hidangan pulut durian mececah lebih 500 kalori yang memerlukan senaman selama 2 jam untuk membakar keseluruhan kalori itu.

Cara buat pulut durian? Kukuskan pulut hingga masak. Panaskan santan sekejap sahaja di atas api. Tambahkan sedikit garam. Curahkan santan ke atas pulut. Hidangkan bersama satu atau dua ulas durian. Siap!

4. Pulut Ayam

Merupakan hidangan pulut savuri yang menghidangkan pulut bersama ayam goreng berempah dan sos cili manis. Hidangan yang biasa didapati di Thailand dan juga di negeri berhampiran seperti Kelantan.

Pulut dimasak seperti biasa. Ayam diperap dengan bahan rempah dan digoreng. Enak dicicah bersama sos cili Thai. Sebagai hiasan, taburkan bawang goreng di atas pulut.

5. Pulut Panggang/Pulut Udang/Pulut Lepa

Pulut ditanak dan kemudian diratakan di atas daun pisang. Sedikit inti kelapa pedas dengan udang kering kemudian diletakkan di tengah-tengah pulut lalu digulung.

Hujungnya dikemaskan dengan lidi, atau kini kebanyakan penjual lebih gemar gunakan dawai kokot. Kemudian ia dipanggang. Aduh sedapnya!

Pulut panggang ini dikenali sebagai pulut udang di Utara. Untuk rasa lebih enak, boleh juga ditambahkan udang hidup ke dalam inti. Berbeza dengan pulut lepa yang berintikan ikan. Namun bentuknya masih sama dengan pulut panggang.

6. Pulut Kuning

Ini kegemaran saya dan juga antara hidangan yang paling popular dan digemari ramai. Ia boleh dimakan bersama pelbagai jenis kuah atau lauk seperti rendang daging, rendang ayam, kari daging, kari ayam, serunding dan ada juga yang gemarkan telur dadar atau telur rebus.

Sering dijadikan menu semasa hari istimewa seperti kenduri-kendara atau sebarang majlis. Pulut kuning juga amat indah dihias dan dijadikan hantaran perkahwinan atau sebagai pengganti kek semasa majlis persandingan.

7. Pulut Ikan Kering

Juga dikenali sebagai pulut tanak ikan masin, hidangan ini popular di Utara dan Pantai Timur. Pulut dimakan bersama kelapa parut (nyior) dan ikan kering.

Boleh menggunakan sebarang jenis ikan kering atau masin mengikut kesukaan. Antara jenis ikan kering yang digunakan adalah ikan talang masin, gelama kering atau tenggiri masam.

8. Pulut Inti Kelapa Manis

Merupakan hidangan pulut yang dimakan bersama inti kelapa parut manis yang dibungkus dalam daun pisang. Bungkusannya berbentuk segi tiga seperti nasi lemak namun saiznya lebih kecil. Enak dimakan semasa sarapan atau minum petang.

9. Ketupat Palas

Turut dikenali sebagai ketupat pulut, merupakan salah satu hidangan utama sewaktu Hari Raya. Cara ketupat ini dibuat adalah dengan memasukkan beras pulut ke dalam daun palas lalu dibalut rapi berbentuk segi tiga lalu direbus hingga masak.

Membalut ketupat ini perlukan kesabaran dan ketelitian. Jika tersalah gaya, balutan akan terbuka dan beras pulut akan terkeluar atau tidak akan menjadi bentuk yang sepatutnya.

Ada juga yang masukkan kacang atau jagung ke dalam ketupat sebagai penambah rasa. Ketupat palas sedap dinikmati bersama rendang, kari atau serunding.

10. Lemang

Selain ketupat palas, lemang adalah antara hidangan utama semasa hari raya. Lemang tradisional, pulut bersama santan dimasak di dalam batang buluh lalu dibakar hingga masak.

Sama seperti ketupat palas, lemang lazat dimakan bersama rendang atau serunding. Kini, lemang boleh juga disediakan tanpa menggunakan batang buluh.

Saja nak kongsi semasa di luar negara dulu saya pernah makan lemang perantau di mana ia di masak di dalam aluminium foil. Sedap juga lemang yang dimasak oleh doktor muda yang kini telah menjadi doktor pakar di HUKM.

Saya tak ada resipi itu tapi anda boleh cuba buat lemang versi mudah ini mengikut cara di blog Lovely Kitchen.

Selamat mencuba!