Sekumpulan pelanggan terpaksa akur setelah diminta mengenakan kain sarung disebabkan melanggar etika berpakaian di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Menurut laporan China Press, individu bernama Ye difahamkan telah membelanjakan lebih RM1,000 untuk menempah tempat bagi menjamu selera di restoran itu bersama keluarganya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Setibanya di sana, Ye berkata rakan dan bapanya tidak dibenarkan masuk ke restoran kerana mengenakan seluar pendek paras lutut dan diminta memakai kain sarung.

“Rakan saya mendapati kain sarung itu tidak sedap dipandang dan tidak percaya bahawa dia telah membelanjakan lebih RM1,000 untuk akhirnya berasa marah.

“Pada masa tersebut, dia sudah memohon untuk bayaran balik tetapi tidak dibenarkan, disebabkan itu, dia dan bapanya tiada pilihan selain memakai kain sarung,” kata Ye.

Bagaimanapun, menerusi laporan Weird Kaya, difahamkan bahawa restoran terbabit sudah menyatakan bahawa pakaian yang perlu dikenakan oleh pelanggan adalah ‘smart casual’ atau ‘easy glam’.

Selain itu, pihak restoran juga mengatakan bahawa “lelaki, baju-T yang tidak kemas atau lusuh, seluar pendek, atau selipar adalah tidak dibenarkan kerana “pakaian yang sesuai adalah tanda hormat kepada persekitaran yang baik”.