Penerbit digital terkemuka tanah air, REV Media Group (REV), melakar kejayaan luar biasa selepas membawa pulang tujuh anugerah di Malaysian Digital Association (MDA) d’Awards 2026.
Paling membanggakan, REV dinobatkan sebagai pemenang anugerah Emas bagi kategori Publisher of the Year dan Content Agency of the Year.
Secara keseluruhan, REV berjaya meraih tiga anugerah Emas dan empat anugerah Perak. Kejayaan ini merangkumi pelbagai kategori penting termasuk penerbitan digital, kandungan berjenama, inovasi kecerdasan buatan (AI), pertumbuhan audiens, pelaksanaan kempen, serta pembangunan bakat.
Pengiktirafan tertinggi sebagai Publisher of the Year dan Content Agency of the Year ini sekali gus mengukuhkan lagi status REV selaku penerbit digital nombor satu di Malaysia.
Kemenangan ini membuktikan keupayaan tinggi REV dalam menghasilkan kandungan berteraskan audiens, memimpin pasaran media pelbagai bahasa, serta mendalami budaya dan platform tempatan dengan berkesan.
Selain itu, REV turut memenangi anugerah Emas dalam kategori Best Digital Growth Campaign, yang mengiktiraf kecemerlangan syarikat dalam memperluas capaian audiens dan menghasilkan impak digital yang boleh diukur.
Sementara itu, empat anugerah Perak yang dimenangi adalah menerusi kategori berikut:
– Best AI & Digital Tech Products
– Best Use of Content / Advertorial / Native Advertising
– Best Use of Integrated Screens
– Rising Star
Pencapaian menyeluruh ini membuktikan kepakaran REV yang seimbang dalam inovasi teknologi AI, penceritaan kreatif untuk jenama, pelaksanaan kempen multimedia, serta komitmen dalam melahirkan bakat baharu industri.

Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Samuel Wee berkata:
“Kemenangan ini amat bermakna kerana ia mencerminkan ekosistem lengkap yang sedang kami bangunkan di REV — daripada aspek penerbitan dan kandungan berjenama sehinggalah kepada produk AI, pertumbuhan platform, dan kempen bersepadu.
“Fokus utama kami kekal sama, iaitu memahami audiens Malaysia, menghasilkan karya yang memberi impak, dan memanfaatkan teknologi secara bertujuan. Ini adalah kejayaan bersama seluruh warga REV yang sentiasa komited meletakkan tanda aras baharu dalam industri media digital negara.”
Di samping memacu kecemerlangan komersial dan teknologi, REV terus memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada ekosistem digital Malaysia.
Melalui inisiatif pembangunan belia seperti Tech For Good Youth, REV memberikan pendedahan praktikal kepada para pelajar dalam bidang kandungan, media, dan teknologi.