“Katanya, 40 langkah ahli keluarganya pergi, mayatnya akan bangun lagi. Ini aku udah langkah 39.” – Bondi.
Era 80-an ialah era filem seram seram Indonesia mula menyusup masuk ke Malaysia. Siapa boleh lupa adegan Sundel Bolong yang membeli satay melalui filem Sundel Bolong (1981), atau wanita yang mengandung di belakang badan di dalam filem Bayi Ajaib.
Apabila Joko Anwar, seorang sutradara muda yang telah menghasilkan filem hebat seperti A Copy of My Mind, Pintu Terlarang dan juga Kala mahu membikin remake pada salah satu naskah hebat 80-an iaitu filem Pengabdi Setan arahan Sisworo Gautama Putra, ia merupakan satu berita yang mungkin baik untuk peminat filem seram Asia.
Sinopsis Pengabdi Setan (2017)
Filem Pengabdi Setan mengisahkan Rini (lakonan Tara Basro) tinggal bersama keluarganya di sebuah rumah tua milik neneknya. Terpaksa menjaga ibunya, bekas penyanyi bernama Mawarni (lakonan Ayu Laksmi) yang sakit, keadaan kewangan Rini sekeluarga amat meruncing.
Kematian Mawarni mengundang duka pada keluarga Rini namun, selepas itu mereka sekeluarga dihantui perkara-perkara aneh dan mengerikan di rumah itu.
Review Saya
Secara umum saya melihat penerimaan filem ini bercampur baur. Ada yang mengatakan ia cukup rasa seramnya, ada juga yang mengatakan ia copy paste pada naskhah-naskhah Hollywood yang ada.
Secara asasnya, saya mengakui ada beberapa babak yang cukup kuat untuk dikenang melalui filem ini. Namun bagi saya, ada beberapa perkara yang bagi saya agak menarik untuk dikupas selain daripada keseraman yang terbina.
Pertamanya, saya sering santuni hasil karya Joko Anwar yang gemar memberi maksud tanpa menyatakan di dalam karya-karyanya.
Melihat pada filem-filemnya sebelum ini seperti Janji Joni atau garapan gelap skripnya di dalam filem Fiksi arahan Mouly Surya, saya agak tertanya-tanya bagaimana seorang pengarah muda akan membawakan kembali naskhah berusia lebih 30 tahun yang dikelaskan sebagai ‘cult’ dan klasik.
Mahu tak mahu, pasti akan berlaku perbandingan apatah lagi filem asalnya bereputasi besar. Namun bagi saya, Joko membawa filem ini ke dasar sisi lain yang agak berbeza berbanding yang asal tetapi membawa essence yang sama dalam penyampaian serta mewarisi beberapa hal dari versi sebelumnya.
Ia membawa pada hal keduanya iaitu soal sudut. Filem ini memberikan beberapa sudut pandang bebas pada para penontonnya. Maksud saya, terpulang mahu menilainya bagaimana sama ada dari sudut atheistic, liberalism, the power of love atau islamis.
Tetapi bagi saya, ada hal yang mungkin filem ini sengaja lakukan iaitu untuk kita kembali menilai siapa kita di sisi apa yang kita letakkan sebagai tunjang percaya.
Seperti contoh babak bauan Islamis yang ‘diwarisi’ dari yang versi yang lama melalui tutur dialog antara Bapak (lakonan Bront Palarae) dan Ustaz (lakonan Arswendi Nasution) yang berbunyi,
“Maaf, saya belum pernah melihat bapak di masjid?”
“Kami tidak solat pak.”
Jawapan Bapak yang cukup jelas dan langsung tiada rasa canggung dan dalih selindung (malah diungkap ketika di kawasan perkuburan) itu seolah cerminan yang hal solat (yang merupakan tunjang agama) seolah bukan satu isu besar untuk dilihat sebagai solusi.
Mungkin ini merupakan adaptasi dari cerminan ruang sekitar masyarakat Joko sendiri sewaktu menggarap filem ini dan ia mungkin berbeza dengan cara Sisworo Gautama Putra melihat masyarakatnya.
Adakah dengan contoh itu ia membawa maksud naskhah ini kuat sisi Islamisnya?
Bagi saya secara terasnya adalah tidak. Namun ia menyampaikan sesuatu yang bagi saya Joko tidak korbankan dari naskhah asal iaitu bagaimana sesuatu sudut percaya itu harus dilihat.
Malah boleh saya katakan, Joko memberikan penceritaan yang ‘menentang’ kebenaran (atau mungkin anti religious) dalam memaksudkan kebenaran.
Sebagai contoh, saya gemar membawa perbandingan transisi antara watak Tomi (versi 1980) dan watak Rini (versi 2017). Kedua-dua watak ini menerima pesan warisan iaitu nasihat agar bersolat di dalam kedua-dua versi filem ini.
Pesan itu berjaya menggerakkan mereka untuk solat (Ya, Tomi diganggu ketika sebelum solat sehingga terus membatalkan solat dan Rini pula diganggu waktu sebelum, ketika dan paling jelas selepas solat).
Mungkin kita akan mempersoalkan mengapa masih diganggu walaupun telah solat? Namun saya gemar jika kita melihat bagaimana kedua-dua versi filem ini berakhir (terutama kedua watak ini).
Bagi saya Rini dan Tomi adalah aras asas simbolisma pada sisi evaluasi diri yang terjadi pada keseluruhan filem dan Joko memberikan kita optional thought antara versi 1980 yang nyata memberi sedar (Tomi dan songkoknya) dan versi 2017 yang memberi soal adakah kita akan sedar (Rini dan skirt yang dipakainya) walau keduanya masih diburu Setan Kultus yang sudah berakar umbi.
Bagi saya walau ada beberapa hal bersifat atheistic dan aroma anti religious, tetapi ia juga memberi soal bagaimana sebenarnya ‘Setan’ melihat kita. Dan kita sendiri bebas menilai sama ada ianya bersifat religious atau sekadar telahan dangkal kerana hanya Joko tahu apa yang dia maksudkan melalui naskhah ini.
Jika santuni jalar ceritanya lagi, bobrok itu telah bermula sejak Mawarni yang berstatus selebriti gagal menghadirkan zuriat dan berabdi pada Setan demi untuk berzuriat. Dari situ lagi bina moral dan spiritual keluarga ini sudah runtuh.
Ya walaupun mungkin akan ada pertikaian akan bagaimana filem ini berakhir, namun saya lebih gemar jika kita berbalik pada siapa kita selepas dilanda musibah? Adakah kita masih sama? Atau kita sekadar bermuhasabah namun tidak mengevaluasi diri?
Dari sudut lakonan, sinematografi dan elemen seram yang dipaparkan, secara peribadi saya merasakan ia berjaya ‘meneror’ para penontonnya agar sentiasa bersiap sedia dengan keseraman yang mahu di suap. Kerana apa yang menarik, setiap keseraman yang mahu diberi dibina dan bersuasana dan kemudian disusuli dengan siri kejutan yang mungkin membuat penontonnya tertanya-tanya.
Saya juga gemar dengan beberapa plot hole yang seolah sengaja di’hole’kan untuk kita melayan fikir akal kita selepas tontonan. Mungkin ia kelemahan atau disengajakan, tetapi menariknya ia mampu menjadi buah diskusi panjang malah mampu membuat penonton yang tak tahu akan wujud versi Sisworo Gautama Putra akan mula mencari kembali naskhah klasik itu.
Ringkasnya, saya tidak menafikan yang mungkin perasaan Insidious, The Conjuring atau The Ring agak kuat mempengaruhi (saya juga terasa akan feel seram filem Turki melalui naskhah ini).
Namun jika anda membeli tiket dengan niat untuk cuba membangkit mood takut tanpa mempeduli hal perbandingan, mungkin naskhah filem Pengabdi Setan ini akan memberi moment yang anda mahukan.
Ini kerana istilah seram ialah istilah yang membawa pelbagai intepretasi. Dan mungkin Setan ini mampu memberi ‘seram’ yang anda mahukan.