Pemain pertahanan muda negara, Richard Chin berjaya mencipta impak positif dalam saingan liga bawahan bola sepak England apabila menjaringkan gol pertama bersama kelab baharunya iaitu Dartford FC.

Chin yang baru sahaja kembali dari menyertai kem latihan pusat skuad B-23 Tahun negara baru-baru ini menjaringkan satu gol dan menyumbang satu assist.

Baca Juga:

Richard yang diturunkan di posisi pertahanan kanan oleh pengendali pasukan melepaskan rembatan kaki kiri dari luar kawasan penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol pasukan lawan sekaligus menghadiahkan jaringan bagi Dartford.

Prestasi cemerlang pemain itu ketika menentang Torquay United juga menyaksikan beliau dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Pencapaian Richard Chin ini merupakan perkembangan positif khususnya bagi skuad B-23 Tahun negara yang bakal menghadapi temasya AFC B-23 Tahun pada 15 April hingga 3 Mei tahun hadapan.

Ketika menyertai kem latihan pusat baru-baru ini, Chin bertekad untuk belajar bahasa melayu untuk memastikan beliau dapat berkomunikasi dengan baik bersama rakan sepasukan.

“Rakan sepasukan menyambut saya dengan baik. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk belajar bahasa melayu untuk memudahkan komunikasi di atas padang.

“Satu pengalaman yang baik namun semuanya sangat cepat. Saya hanya berlatih sebanyak dua kali dan beraksi dalam satu perlawanan persahabatan menentang PDRM.

“Juan Torres dan Shukor Adan banyak membantu dengan memberikan maklumat tambahan. Saya amat berpuas hati dengan apa yang saya lalui,” katanya dipetik dari laporan The Star.