Isteri Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Rihana Oksana Petra dua hari lalu berkongsikan kisah bagaimana Sultan Muhammad V melamarnya untuk berkahwin menerusi akaun Instagram miliknya.

Oksana Petra dalam tulisan panjangnya menceritakan bagaimana beliau dilamar ketika kali pertama berkunjung ke Malaysia bersama kedua-dua ibu dan bapanya tahun lalu. Sebelum beliau berkunjung ke Malaysia, hubungan beliau dan Sultan Muhammad V adalah secara jarak jauh kerana beliau terlebih dahulu perlu berpindah ke New York selama setahun atas urusan kerja.

Setibanya di Malaysia, beliau dan keluarganya sangat kagum dan terpesona dengan keindahan Malaysia. Pada satu malam ketika masih di Malaysia, beliau menerima lamaran daripada Sultan Muhammad V.

https://www.instagram.com/p/Bzkmta6CeXT/

“Saya tidak akan melupakan malam yang amat romantis apabila bakal suami saya meluahkan perasaanya dan memberitahu yang dia telah jatuh cinta kepada saya pada kali pertama kami bertemu. Dia juga memberitahu yang dia amat menyenangi dengan saya dan ingin saya menjadi suri hatinya,” tulis Oksana Petra di gambar Instagram miliknya.

“Malaysia adalah tanah tumpah anak saya dan dengan adanya anak ini, saya tahu saya telah membuat pilihan yang amat tepat. Alhamdulillah,” terang Oksana lagi.

https://www.instagram.com/p/By2_4azCk0Y/

Sebelum ini, Oksana Petra pernah berkongsikan kisah pertemuan antara beliau dan Sultan Muhammad V buat pertama kali pada tahun 2017 di Eropah. Pada ketika itu beliau tidak mengenali siapa Sultan Muhammad V di mana Sultan Muhammad V memperkenalkan dirinya sebagai ‘Raja Malaysia’. Menganggap ianya satu gurauan, Oksana membalas yang beliau merupakan Ratu Moscow dan dari detik itu hubungan mereka semakin rapat.

Pasangan ini dikurniakan putera sulung yang dinamakan Tengku Ismail Leon Petra Tengku Muhammad V Faris Petra pada 21 Mei lalu. Sangat sweet kisah percintaan yang dikongsikan oleh Oksana Petra ini. Apa pula agaknya kisah yang akan dikongsikan oleh Oksana nanti?