Ringgit Malaysia akhirnya berjaya menembusi senarai 20 mata wang paling banyak digunakan di dunia, menurut laporan terkini oleh Seasia Stats yang merujuk data daripada Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication (SWIFT).

Pencapaian ini menandakan satu perubahan besar dalam kedudukan ekonomi Malaysia di pentas antarabangsa.

Ringgit Malaysia kini berada di tangga ke-20, berkongsi kedudukan dengan mata wang lain seperti baht Thailand dan forint Hungary.

Ringgit Malaysia

Meskipun peratusan penggunaannya dalam transaksi global masih kecil, hanya 0.21%, kehadiran ringgit dalam carta ini bagi pakar adalah langkah Malaysia menjadi antara pengaruh kewangan serantau.

Menurut laporan New Straits Times, seorang pegawai dari syarikat pengurusan kekayaan menyatakan bahawa peningkatan transaksi rentas sempadan yang menggunakan ringgit telah melonjak dengan ketara sejak tahun lalu.

Malah, Ringgit Malaysia pernah menyentuh paras terkuatnya untuk tahun 2025 pada kadar MYR4.1990 berbanding Dolar AS pada 5 Mei — satu peningkatan hampir 6.2% sejak awal tahun.

Kenapa Ringgit Malaysia Kukuh?

Penganalisis kewangan Stephen Innes dari SPI Asset Management menekankan bahawa lonjakan permintaan terhadap ringgit didorong oleh kekuatan asas perdagangan Malaysia.

Eksport utama seperti produk elektronik, semikonduktor, minyak sawit dan tenaga telah meletakkan Malaysia sebagai rakan dagang yang strategik, terutamanya kepada China, Singapura dan negara-negara Asia Tenggara.

Ringgit Malaysia

Namun, kekuatan ringgit bukan sekadar bergantung kepada perdagangan.

Dasar fiskal dan moneter yang lebih disiplin juga memainkan peranan penting.

Malaysia berjaya menurunkan defisit fiskal daripada 5.7% kepada 4.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2025.

Peningkatan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6% kepada 8% serta rasionalisasi subsidi bahan api pada Jun lalu memperkukuhkan kedudukan fiskal negara.

Ringgit Malaysia

Dalam tempoh yang sama, pendapatan hasil cukai melonjak lebih 30%, sementara rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia turut meningkat daripada USD115.5 bilion pada Januari kepada USD120 bilion menjelang akhir Jun — satu lagi petanda keyakinan pasaran terhadap ringgit.