Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Sampul.co, Arham Merican menyatakan rakyat Malaysia kini dianggarkan menyimpan sebanyak RM135 bilion dalam dana digital di e-Wallet tempatan, yang berisiko menjadi gelombang baharu aset tidak dituntut sekiranya tiada perancangan pusaka digital yang betul.

Beliau memberi amaran bahawa tanpa perancangan rapi, aset digital ini mungkin tidak dapat diakses oleh waris sekiranya pemilik akaun meninggal dunia.

Situasi ini menekankan kepentingan memasukkan pengurusan aset digital dalam perancangan kewangan tradisional, petik New Straits Times.

“Malaysia dilaporkan mempunyai RM13.3 bilion dana tidak dituntut dan RM90 bilion aset beku, menunjukkan betapa luasnya isu ini,” katanya kepada Business Times.

Sementara itu Profesor ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng, berkata aset pusaka beku negara sebanyak RM90 bilion adalah jumlah signifikan, bersamaan hampir 5 peratus daripada KDNK 2024. Ini menunjukkan berapa banyak modal produktif yang “terkunci” pada bila-bila masa.

Menurut Dr Yeah, pertikaian pusaka yang tidak diselesaikan menyebabkan kekayaan terkandas dalam sistem, menghalang aset daripada digunakan, dilaburkan atau menjana hasil.

Apabila aset seperti wang tunai, hartanah atau pegangan digital tidak dapat digerakkan kerana kelewatan undang-undang atau pentadbiran, peredaran modal menjadi perlahan.

“Pengurangan kecairan ini melemahkan kesan pengganda wang, mekanisme yang membolehkan setiap ringgit menjana aktiviti ekonomi tambahan, sekali gus membawa kepada pertumbuhan yang lembap dan penciptaan kekayaan yang terhad untuk keluarga serta masyarakat.”

Beliau menjelaskan bahawa hartanah terbiar atau baki bank tidak dituntut tidak boleh dijual atau dilaburkan untuk menjana pendapatan, menyebabkan potensi ekonominya terbantut.

Selain kesan makro, pembekuan aset juga membawa impak kehidupan sebenar kepada keluarga. Tanpa akses kepada harta pusaka, isi rumah mungkin sukar memenuhi keperluan pendidikan, kesihatan atau pembiayaan perniagaan.

“Harta pusaka ialah pemindahan antara generasi yang penting dalam mengekalkan kekayaan keluarga dan mobiliti sosial. Jika aset tidak dapat diwariskan, ia berisiko melebarkan jurang ketidaksamaan,” katanya.