Selepas mengambil alih pengurusan Menara Kuala Lumpur (KL), LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM) telah membelanjakan lebih RM20 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih  dalam tempoh tujuh hari.

Memetik Malaysia Gazette, kewangan yang kukuh membolehkan syarikat itu melaksanakan pemulihan segera, termasuk menaik taraf pelbagai kemudahan di Menara KL, kata Pengerusi Bukan Eksekutif Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital), Tan Sri Lim Keng Cheng.

Baca Juga:

“Syarikat kami mempunyai rekod kewangan yang sangat kuat, kami dapat menggerakkan pekerja dan melaksanakan kerja-kerja baik pulih dalam masa yang singkat,” katanya pada sidang media pada pembukaan semula menara itu, baru-baru ini.

Antara kerja-kerja pembaharuan yang dilakukan ialah penggantian perabot seperti kerusi dan meja, peralatan dapur dan ubah suai lantai.

Pada masa sama menaik taraf sistem mekanikal dan keselamatan termasuk pemasangan jaringan kaca setinggi 1.8 meter demi keselamatan pengunjung.

Bagi memenuhi standard tertinggi, keseluruhan pasukan arkitek dan jurutera turut diperbaharui.

LSHSM optimis tingkatkan standard pengurusan Menara KL
RM20 Juta Dibelanja Dalam Masa 7 Hari Untuk Baik Pulih Menara KL
Sumber Gambar: Free Malaysia Today

Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM, Khairil Faizal Othman berkata, persediaan awal telah dibuat sejak syarikat menandatangani konsesi pengurusan KL Tower pada 10 Mac lalu.

“Walaupun operasi Menara KL terpaksa dihentikan sementara, kami terus melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami menetapkan piawaian baharu bagi menyaingi menara-menara lain di dalam dan luar negara,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, LSHSM optimis untuk terus meningkatkan standard pengurusan Menara KL sepanjang tempoh konsesi 20 tahun yang diperoleh, selaras dengan aspirasi menjadikan menara tersebut sebagai mercu tanda kebanggaan negara.

“Kami menganggap sebarang cabaran sebagai perkara biasa dalam dunia perniagaan.

“Persediaan kami sudah bermula sejak menerima bayangan berhubung tawaran konsesi ini tahun lalu,” jelasnya.